Tujuannya hanya satu iaitu memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal berkuasa di negara ini.

Kemenangan BN membolehkan rakyat pelbagai kaum terus menikmati kemakmuran negara di bawah pentadbiran kerajaan BN yang ditunjangi UMNO.

Namun, apakah akan jadi kepada nasib orang Melayu dan rakyat Malaysia secara amnya jika parti itu tumbang?

Rakyat kini mempunyai dua pilihan sama ada ingin melonjak negara ke arah masa depan di bawah UMNO dan BN atau berada di bawah cengkaman Pakatan Harapan diketuai DAP.

Berkongsi mengenai kebimbangan itu, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengajak rakyat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya umum kali ini.

“Pilihan raya ini bukan soal Perdana Menteri, bukan soal saya dan bukan soal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

“Tetapi apa yang lebih penting pada pilihan raya kali ini adalah soal kuasa. Kita tidak mahu orang lain menjadi pemegang kuasa.

“Sebelum ini, kita sudah teruk dijajah oleh kuasa Inggeris, Belanda, komunis dan kita tidak mahu ia berulang,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Estet Ikan Kampung Chempaka, Lanchang, Pahang semalam.

Peringatan itu kerana beliau bimbang kuasa dimiliki orang Melayu akan lenyap jika DAP yang mengetuai Pakatan Harapan mentadbir negara ini.

Jangan sampai Melayu hilang kuasa di bumi sendiri. - UTUSAN ONLINE