Mereka harus menunggu sedikit masa lagi kerana pemilihan kalangan yang bakal mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN)  kali ini dikatakan  paling teliti dalam sejarah perjalanan PRU bagi memastikan mereka dapat membantu membawa kemenangan sekali gus mengekalkan kuasa pemerintahan.

 Penelitian tentang keupayaan mereka untuk berperanan bagi kepentingan negeri dan rakyat selain soal sentimen di peringkat bahagian dan tahap penerimaan rakyat umumnya (bukan sekadar dalam parti)  terhadap bakal-bakal calon yang berada dalam senarai awal.

Justeru pemilihan mengambil masa yang lama dengan pengamatan yang panjang berdasarkan pelbagai sumber dan sudut pertimbangan, justeru sehingga hari ini, soal siapa calon di sana sini masih menjadi tanda-tanya.

Di Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengesahkan masih ada sebilangan kecil kerusi yang calonnya belum dimuktamadkan untuk  kerana penelitian masih dilakukan atau mungkin berlaku perubahan pada saat-saat akhir.

Beliau tidak pula menyebut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana tetapi kemungkinan besar boleh ditelah termasuklah Teluk Pasu (Parlimen Kuala Nerus), Rhu Rendang dan Bukit Payung (Marang), Rantau Abang dan Sura (Dungun).

 Teluk Pasu direbut semula oleh Pas dalam PRU13 hanya dengan majoriti 109, begitu juga dengan Rantau Abang yang terlepas dengan majoriti 141 manakala Bukit Payung 613 -  tiga daripada beberapa lagi kerusi yang dijangka boleh dikuasai semula oleh BN.

Sekurang-kurangnya UMNO dan BN dapat meningkatkan jumlah kerusi daripada 17 kepada 20 daripada sasaran agak rasional 24 kerusi daripada 32 keseluruhannya yang bakal mengukuhkan kedudukan kerajaan BN negeri untuk memerintah dengan lebih menyakinkan.

Namun bagi tiga kerusi itu, dalam lingkaran dalaman parti, ramai yang menunjukan minat untuk menawarkan diri  bertanding justeru banyak nama perlu diteliti, dan mungkin sukar untuk memilih jika tahap kewibawaan mereka agak setanding di samping keadaan menuntut tiada ruang untuk sengketa dalaman yang menjejaskan peluang kemenangan.

 Mungkin juga perlu menimbang bagaimana untuk menangani, meredakan keadaan agar tidak menjejaskan jentera dan jumlah undi  jika berlaku risiko kalangan yang tidak terpilih membuat onar bersama penyokong yang berharap dapat terus berpayung di bawah mereka.

Rhu Rendang pula bagaikan aset kekal Pas yang terus dimenangi oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang  dengan majoriti 2,819 namun dalam PRU14, Presiden Pas itu mungkin  melepaskannya, digantikan dengan anaknya Muhammad Khalil, dan beliau cuma bertahan di kerusi Parlimen.

Sura pula yang dikuasai Pas dengan majorti lebih besar ( 2,957) merupakan kawassan bandar dan pinggir bandar yang melibatkan ramai pengundi Cina, namun dengan sinario politik semasa, apabila Pas berada di luar pakatan pembangkang, sokongan diyakini tidak lagi menyeluruh, dan sebahagiannya akan beralih arah.

Dua kerusi ini turut menuntut kepada calon yang benar-benar  mempunyai merit untuk membawa kemenangan yang  tidak mustahil untuk digapai, dan bukan sekadar melengkapkan jumlah kerusi yang ditandingi, apatah lagi ketika pola pengundian pastinya berubah jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

Soal sabotaj oleh kalangan yang tidak terpilih memang  menjadi kelaziman. Namun mungkin kali ini tidak ketara lagi kalangan yang dikatakan orang perjuangan,  atas nama agama, bangsa dan negara, menampakkan diri mengejar kepentingan benak sendiri, malah diingati sebagai petualang parti. - UTUSAN ONLINE