Malah, calon yang berusia 30 tahun itu bukan calang-calang anak muda kerana memiliki kelulusan yang tinggi iaitu pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kelas pertama dan kini dalam proses menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sama. 

Bahkan, calon berkenaan juga bukan orang asing sebaliknya merupakan menantu kepada penyandang DUN Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor. Ikuti temu bual calon PH, Muhammad Aiman Zainali bersama wartawan Utusan Malaysia, AZMAN IBRAHIM dalam satu pertemuan baru-baru ini.

UTUSAN: Ramai yang meng­anggap saudara terlalu pendiam, ‘budak baik’ dan tidak sesuai menjadi ahli politik. Apa komen saudara?

MUHAMMAD AIMAN: Ini memang sifat semula jadi saya. Insya-Allah, saya akan perbaiki kelemahan untuk bercakap dengan orang ramai. Yang penting, orang ramai nilailah pada tugas dan khid­mat yang diberikan serta melihat apa yang ingin diperjuangkan saya untuk penduduk Semenyih.

Apakah visi saudara untuk menjadi seorang Ahli DUN?

MUHAMMAD AIMAN: Visi saya untuk jangka pendek dan panjang mahu fokus kepada pendidikan golongan belia. Saya sudah lama duduk di sini. Semenyih boleh dikatakan kawasan pinggir bandar, bila kita fokus kepada pendidikan, golongan belia akan dapat mengubah taraf hidup dan lebih berdikari. Selain pendidikan, saya hendak membantu dalam pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, longkang, balai raya, hospital dan lain-lain.

Menjadi menantu kepada penyandang DUN Semenyih, adakah itu menjadi kelebihan kepada saudara memenangi PRK DUN Semenyih?

MUHAMMAD AIMAN: Saya rasa tidak. Saya tetap kena berusaha di atas diri sendiri. Apa pun, saya bersyukur kerana diberi peluang menggalas tanggungjawab ini sebagai calon PRK DUN Semenyih. Ini baru di peringkat permulaan.

PH meletakkan calon muda untuk melawan calon yang berpengalaman di pihak lawan. Adakah kamu yakin untuk menawan hati pengundi muda di DUN Semenyih ini?

MUHAMMAD AIMAN: Insya-Allah. Kalau diikutkan pengundi-pengundi muda di Semenyih agak ramai. Jadi, kita akan tarik mereka untuk sokong kepada kita supaya memenangi PRK dan dapat membawa suara anak-anak muda Semenyih ke peringkat negeri dan pusat.

Ada pihak mendakwa saudara menipu sudah memiliki PhD di ruangan Linked In?

MUHAMMAD AIMAN: Saya tidak pernah mengaku bahawa saya sudah pun memiliki PhD. Dalam laman Linked In, saya terlupa mengemas kini butiran diri saya pada waktu itu kerana saya menjangkakan dapat menamatkannya pada 2016.

Dalam tempoh pengajian, sesuatu telah berlaku, saya terpaksa menangguhkan pengajian dan tidak dapat menamatkan pengajian pada tahun itu kerana terpaksa menjaga nenek yang sakit. Ramai juga yang tidak tahu saya mendapat tawaran terus PhD selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan kelas pertama.