TUNKU ABDUL AZIZ

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, selama ini Kit Siang melindungi niat sebenarnya itu daripada rakyat dengan berpura-pura memberi sokongan kepada calon lain untuk menjadi Perdana Menteri.

Malah katanya, keadaan ketika ini juga menuntut Kit Siang `perlu’ menjadi Perdana Menteri jika mahu menyelamatkan anaknya, Lim Guan Eng daripada dipenjarakan jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

“Matlamat utama mana-mana diktator adalah untuk menjawat jawatan tertinggi iaitu Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 mendedahkan Kit Siang berminat untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Tunku Abdul Aziz, Kit Siang perlu tampil dan menjawab kenyataan Najib itu dan tidak lagi berselindung di belakang orang Melayu seperti yang beliau selalu lakukan.

Ini kerana katanya, kedua-dua pemimpin Melayu yang menjadi sekutunya iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan merupakan ahli Parlimen, oleh itu mereka tidak layak menjadi Perdana Menteri.