Tuntutan sama disuarakan sekali lagi dalam perhimpunan tahun ini khususnya oleh Ketua­nya, Tan Sri Sharizat Abdul Jalil yang tetap mahukan hak itu diberikan kepada golongan Wanita.

Sudah sampai masanya, pucuk pimpinan UMNO dan kerajaan memberi perhatian sewajarnya kepada tuntutan itu khususnya kuota 30 peratus kepada golongan wanita di pe­ringkat pembuat dasar dan keputusan.

Wanita tidak boleh dibiarkan terus merayu setiap tahun ke­rana bimbang kelak timbul rasa rajuk dan kecil hati.

Jika itu berlaku, amat malang kepada UMNO khususnya memandangkan jentera sayap Wa­nita ketika ini adalah paling besar dalam parti itu.

Dengan kekuatan seramai 1.4 juta ahli Wanita di seluruh negara, tidak keterlaluan untuk disimpulkan ini adalah jumlah paling besar dalam mana-mana sayap parti politik di seluruh dunia.

Malah, sesiapa pun tidak boleh menafikan sumbangan wanita dalam menarik sokongan rakyat kepada UMNO setiap kali pilihan raya umum menerusi pendekatan yang lebih menyentuh hati pengundi.

Maka, dengan kelebihan itu, adalah wajar untuk pucuk pimpinan UMNO menyantuni dengan penuh bijaksana permintaan sayap Wanita UMNO tersebut.

Sementelah apa yang dituntut itu juga adalah sesuatu yang berasas.

Kuota 30 peratus di peringkat pembuat dasar dan keputusan sama ada di dalam parti atau kerajaan bukan sesuatu yang sukar untuk diisi golongan wanita negara ini.

Selain dalam politik, golo­ngan itu juga sudah membuktikan kemampuan dan keupayaan dalam pelbagai bidang. Bukan hanya di peringkat tempatan malah turut melakar nama negara di peringkat antarabangsa.

Sebab itu, platform Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah platform terbaik untuk pucuk pimpinan parti merea­lisasikan tuntutan Wanita UMNO tersebut.

Tidak mustahil berita gembira itu boleh menjadi pendorong atau tonik yang akan lebih memacu sayap berkenaan berjuang untuk parti bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.