ROBERT MUGABE
ROBERT MUGABE

Pertama, Dr. Mahathir pernah menjadi pemimpin utama kerajaan sebelum ini dengan memecah rekod dunia meme­rintah selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, malah sepanjang pemerintahan beliau (dan selepas bersara), gaya pentadbiran Dr. Mahathir digambarkan sebagai ‘autoritarian’.

Dengan nada sarkastiknya yang terkenal, bekas doktor itu mengakui beliau memang um­pama ‘diktator’ ketika memegang jawatan tertinggi Malaysia dahulu.

Beliau bukannya dikenali se­­­­­bagai penyokong reformasi de­mokrasi, sesuatu yang kononnya menjadi teras Pakatan Harapan.

Kedua, beliau kini berusia 93 tahun, menjadikannya pemimpin dunia paling tua jika dilantik.

Kolumnis-kolumnis pembangkang sebelum ini galak membandingkan Malaysia dengan Zimbabwe sedangkan Malaysia dipuji Bank Dunia, IMF dan pertubuhan antarabangsa lain di­se­babkan kerajaan sedia ada membawa perubahan, pentadbiran ekonomi berhemah dan pembangunan yang menggalakkan.

Malah, bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, 93, yang digulingkan secara terhina tahun lalu begitu ‘dekat’ dengan Dr. Mahathir sehingga John Simpson dari BBC pernah memberi pujian sinis dengan menggelar beliau sebagai ‘Robert Mugabe Asia yang agak berjaya’.

Pembangkang Malaysia kini jelas dipimpin dua pemimpin yang datang dari 20 tahun lalu: Dr. Mahathir dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan yang beliau sendiri pecat serta malukan pada 1998 selepas didakwa seterusnya dipenjarakan kerana meliwat dan rasuah.

Anwar kini menjalani hukuman penjara susulan disabit ke­salahan meliwat kali kedua.

Isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula dinamakan calon Timbalan Perdana Menteri tetapi jika pembangkang menang, Pakatan Harapan me­rancang untuk Anwar diberikan pengampunan diraja, masuk ke Parlimen melalui pilihan raya kecil seterusnya mengambil alih daripada bekas seterunya sebagai Perdana Menteri.

Tanggapan kononnya ini semua mewakili perubahan apatah lagi melibatkan ‘muka baharu’ adalah melucukan dan memberi gambaran buruk terhadap keya­kinan pembangkang kepada pe­mimpin mudanya (muda di sini bermaksud berusia 50 dan 60 tahun) mahupun terhadap mereka yang sejak sekian lama menentang Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah tewas sejak Malaysia merdeka.

Perjalanan mereka bukannya mudah. Ramai yang dipenjarakan Dr. Mahathir tanpa alasan kukuh selain semangat penentangan mereka menyusahkan beliau.

Mereka berhak berasa terkilan kerana perlu tunduk kepada orang yang memenjarakan mereka dahulu.

Dan walaupun Dr. Mahathir masih kuat, lidahnya masih tajam, mereka tidak boleh menolak fakta bahawa mencalonkan seorang lelaki mencecah 93 tahun pada usia lantikan semula sebagai Perdana Menteri mendedahkan Malaysia menjadi bahan jenaka antarabangsa.

Sesiapa yang meragui kemungkinan ini perlu memba­yangkan kelucuan tidak masuk akal jika George HW Bush yang kini ber­usia 93 tahun mahupun Valery Giscard d’Estaing, 91 tahun, ma­sing-masing cu­­ba kem­bali meme­gang ja­watan Presiden Amerika Syarikat dan Pre­siden Perancis.

Jadi, kenapa pembangkang Malaysia men­cadangkan Dr. M­a­hathir sebagai ke­tua mereka?

Mungkin ada akan menyatakan Dr. Mahathir telah menukar nadanya malah baru-baru ini memohon maaf.

Pertama sekali, beliau tidak meminta maaf atas sebarang sebab khusus dan kedua, Dr. Mahathir kemudiannya menyatakan ia budaya Melayu untuk meminta maaf atas kesilapan silam yang mungkin pernah dilakukan.

Namun, walau apa jenis tuduhan dilemparkan kepadanya melibatkan sebarang salah laku sepanjang pemerintahannya dahulu - yang aktivis pembangkang sendiri sebelum ini menuntut beliau dihadapkan ke mahkamah - Dr. Mahathir secara asasnya tidak ada rasa bersalah.

KARPAL SINGH
KARPAL SINGH

Mendiang Karpal Singh, pe­ngerusi berbangsa Sikh yang tegas dalam parti dominan kaum Cina, DAP tidak mungkin akan menerima apa yang berlaku sekarang.

Anak perempuannya dan ramai lagi yang sudah lama berjuang dengan pembangkang tidak dapat menerima Dr. Mahathir sebagai pemimpin utama mereka dan bantahan ini telah dinyatakan dengan tegas termasuk oleh anggota parti Anwar sendiri, PKR.

Tidak menghairankan kerana gabungan mereka bukannya berdasarkan prinsip sebaliknya berdasarkan keperluan.

Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu bersedia menjadi pengikut setia Dr. Mahathir dan mengikut semua arahan bekas bos beliau itu, semua ini tidak akan berlaku.

Sejak bersara, Dr. Mahathir tidak dapat melepaskan kuasa yang pernah digenggamnya.

Mulanya beliau merendahkan pewaris yang dipilihnya sendiri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya Najib - bukan disebabkan salah laku peribadi kedua-dua pemimpin itu sebaliknya atas kesalahan tidak menerima ‘nasihat’ Dr. Mahathir sebagai satu arahan malah tidak melayan cita-cita warisan dinasti beliau.

Kehadiran Dr. Mahathir pada majlis ketua-ketua pembangkang sebenarnya menjadi satu petunjuk kepada betapa kuatnya kedudukan Najib sejak dua sete­ngah tahun lalu.

Mengakui muka-muka Cina yang jelas kelihatan dan bergerak kuat dalam pembangkang sejak Anwar dipenjarakan, Pakatan Harapan kini sedang cuba menyorokkan muka-muka itu di belakang seorang ahli politik Melayu untuk menarik undi pen­ting daripada orang Melayu yang menjadi majoriti di negara ini.

Bagaimanapun, gabungan baharu mereka tidak keruan dengan adanya ahli-ahli politik yang bertentangan sepenuhnya dalam rekod hak-hak sivil dan kebebasan bersuara malah lebih buruk lagi ada jenis bermuka-muka.

Golongan ini mendakwa cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan kerajaan sedia ada boleh dihapuskan tetapi tiada sebarang perancangan jelas bagaimana mereka akan menggantikan sumber pendapatan yang begitu penting.

Ada individu-individu bagus da­lam kalangan pembangkang yang penulis kenal secara peribadi tetapi tiket utama ini merempuh melepasi prinsip-prinsip lama pembangkang dan seterusnya me­nem­busi apa jua pegangan moral yang mereka pernah ada dahulu.

Malaysia kini mempunyai ke­rajaan yang baik dan telah me­nerima banyak penganugerahan untuk keazamannya menentang fahaman pelampau yang ganas dan kejayaan program transformasi ekonominya.

Kerajaan ini layak mendapat pembangkang yang lebih baik dan terdapat seseorang berusia 93 tahun yang wajar menerima penghargaan rakyat atas khidmatnya sebelum ini, tetapi pada masa sama menerima persaraan yang telah terlalu lama beliau tangguhkan.

PENULIS ialah felo kanan di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia dan tulisan ini telah disiarkan dalam portal berita The National Emiriah Arab Bersatu.