Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, justeru orang Melayu perlu mengambil peringatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang mengesa kaum itu mengubah sikap bagi meraih kejayaan.

“Benar, bantuan kerajaan dan parti politik Melayu pen­ting. Tetapi orang Melayu tidak boleh bergantung kepada bantuan kerajaan atau parti politik Melayu selama-lama­nya.

“Akan sampai masanya orang Melayu mesti berdikari dan mampu bersaing, inilah petunjuk sebenar kejayaan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, orang Melayu tidak lagi memerlukan sebarang bantuan jika mereka mampu maju dan berdikari serta dapat bersaing di dalam dan luar negara.

“Justeru, perubahan sikap orang Melayu dan bumiputera sendiri yang akan menjadi komponen penting Agenda Bumiputera akan kita laksanakan nanti.

“Tanpa perubahan sikap, apa sahaja dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan dapat membantu orang Melayu dan bumiputera untuk maju,” ujarnya.

Muhyiddin menegaskan, kaum Melayu mesti me­nerapkan nilai amanah, rajin, berdisiplin, berani dan semua nilai murni dalam kehidupan untuk menjadi bangsa berjaya.