Buktinya, seramai 300 daripada 500 ahli baharu DAP di negeri ini adalah orang Melayu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, parti itu bukan saja berhasrat menentang Barisan Nasional (BN) bahkan bercita-cita besar menumbangkan Pas yang memerintah selama 28 tahun di Kelantan. 

“Rakyat akan memberi mandat kepada sebuah kerajaan yang bersih dan tak korup, justeru, kerja keras kita perlu bermula daripada sekarang untuk menawan Kelantan lima tahun akan datang. 

“Hari ini sebanyak tujuh cawangan baharu telah dibuka dan kita sangat berbangga dengan jumlah penyertaan ahli hari ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka DAP negeri ini, di sini, malam tadi. 

Yang turut hadir ialah Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Setiausaha Biro Organisasi DAP Kebangsaan, Vincent Wuu dan Pengarah Hal Ehwal Pembangunan DAP Kelantan dan Terengganu; Lee Chin Chen. 

Tujuh cawangan DAP baharu di negeri ini adalah Rantau Panjang, Tumpat, Machang, Kuala Krai, Pengkalan Chepa dan dua kawasan di Bachok. 

Manakala, tiga cawangan lama di jajahan Kota Bharu melibatkan Kebun Sultan, Gajah Mati dan Suara Muda. - UTUSAN ONLINE