Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, undang-undang syariah jelas diperuntukkan dalam Jadual 9 (Senarai II-Senarai Negeri) Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi hukum-hakam syarak, undang-undang diri dan keluarga bagi mereka yang menganut agama Islam.

Katanya, undang-undang jenayah syariah adalah hak eksklusif untuk orang Islam di setiap negeri justeru, cadangan untuk menyatukan undang-undang jenayah dalam Kanun Keseksaan di bawah penguatkuasaan kerajaan Persekutuan adalah tidak relevan.

“Tambahan pula, undang-undang jenayah syariah adalah berasaskan sumber-sumber syarak walaupun ianya sangat terhad kepada hukuman maksimum enam kali sebatan, denda sehingga RM5,000 dan tiga tahun penjara sahaja dan hukuman ini telah ditetapkan sejak tahun 1998 malah belum pernah dipertingkatkan sehingga kini.

“Pihak JAG dan Majlis Peguam seharusnya memahami prosedur hukuman yang dilakukan oleh institusi mahkamah syariah, bukannya melabelkan ia sebagai satu bentuk perundangan yang zalim dan kejam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE