MOHAMAD HASAN

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PRK itu akan menjadi percubaan awal untuk mengukur prestasi UMNO selain usaha bagi menggerakkan semula parti.

“Jika terus berdiam diri, orang akan katakan UMNO tidak buat apa-apa dan pasif. Walau bagaimanapun dengan adanya PRK ini, kita dapat menggerakkan jentera supaya menjadi lebih aktif.

“Apa yang menariknya dalam PRK kali ini, UMNO bukan lagi sebagai parti kerajaan tetapi pembangkang,” katanya selepas Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Al Ammar di Rantau di sini hari ini.

Upacara perasmian telah di­sempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Zain Al-’Abidin.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO; calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K. Murthy.

Sementara itu, Mohamad menyifatkan langkah UMNO dan Pas meletakkan seorang sahaja calon daripada blok pembangkang untuk bertanding dalam PRK tersebut sebagai konsep pemikiran politik baharu.

Beliau yang merupakan Pe­ngerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, adalah tidak salah mencapai kesepakatan dan mengetepikan ego masing-masing untuk kebaikan masa depan negara, bangsa dan agama.

“Kita boleh bersetuju atau tidak, tetapi bagi perkara yang baik kita (sewajarnya) bersetuju. Yang perlu adalah kebersamaan demi masa depan negara, bangsa dan agama supaya tiada sesiapa pun rugi,” katanya.

Ujarnya, kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan UMNO dan Pas sebagai ‘adik-beradik’ kerana meletakkan seorang calon, perlu dilihat dari aspek positif bagi kedua-dua parti berkenaan.

“Itu namanya adik-beradik dan siapa patut beralah dia akan beralah, tetapi ia dilakukan untuk mencari kebaikan, bukannya kerana sesuatu yang tidak baik,” katanya.