Pengarah Biro Publisitinya, Lim Jit Fong berkata, kawasan itu diwakili seorang Menteri dan dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), namun penduduk mendakwa wakil rakyat berkenaan langsung tidak turun padang mendengar masalah mereka.

Tambahnya, mengusir penduduk dengan tindakan merobohkan rumah menggunakan jentolak adalah sesuatu yang menyedihkan apatah lagi dilakukan oleh pihak berkuasa yang sepatutnya melindungi kebajikan rakyat.

“Walaupun isu itu berkaitan penduduk Islam, namun sebagai wakil rakyat, mereka perlu mengetepikan soal kaum dan agama dan melihat isu ini dari sudut kemanusiaan.

“Mana tanggungjawab sebagai pemimpin dan wakil rakyat mereka apabila langsung tidak turun membantu penduduk ketika rumah mereka dirobohkan dan mereka diusir?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Minggu lalu, kerja merobohkan sebanyak 14 unit rumah di tanah wakaf itu bertukar kecoh sehingga ada yang cedera apabila penduduk bertindak menghalang kediaman mereka daripada dirobohkan pihak berkuasa.

Dalam insiden itu juga, seramai 11 penduduk berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun ditahan polis apabila menghalang tugas pihak berkuasa melakukan kerja-kerja perobohan.

Setakat ini, 13 unit rumah sudah dirobohkan dan kerja-kerja merobohkan sebuah lagi rumah dijangka dilakukan esok.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Daerah MCA, Tan Ming Huan berkata, pihaknya tidak bermaksud untuk campur tangan dalam kemelut yang sedang dihadapi antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan penduduk berkenaan dalam isu terbabit.

Bagaimanapun, katanya, isu berkenaan sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara baik dan tidak membabitkan kekecohan sekiranya wakil rakyat di kawasan berkenaan lebih awal membantu dan menjadi orang tengah antara kedua-dua pihak. – UTUSAN ONLINE