Kamarul Zaman Yusoff

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, seandainya MCA meninggalkan BN, mereka tiada pilihan selain perlu memohon menyertai Pakatan Harapan (PH) yang bagaimanapun sudah mempunyai parti pilihan masyarakat Cina ketika ini iaitu DAP.

Beliau yakin, MCA sendiri tidak akan diterima untuk menyertai PH kerana dilihat tidak membawa sebarang nilai tambah kepada PH.

“Ini kerana sokongan pengundi Cina kepada PH telah mencapai tahap tepu dan maksimum hasil kerja kuat pemimpin DAP. MCA dan DAP berebut pengundi yang sama, iaitu pengundi Cina.

“Sangat mustahil untuk DAP mengorbankan kerusi mereka kepada MCA. Pilihan yang ada kepada MCA hanyalah untuk kekal mengamalkan politik sederhana dalam BN yang akan membolehkan mereka mendapat sokongan pengundi Melayu,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Kamarul Zaman juga berpandangan, agak sukar bagi MCA membentuk blok politik ketiga kerana secara realiti politik Malaysia lebih menjurus kepada sistem dua parti.

Pada masa sama, beliau melihat parti komponen BN itu tidak boleh menolak kerjasama UMNO dan Pas kerana ia merupakan strategi bagi mengalahkan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

“MCA tentu sedar mengenai kebangkitan semula UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dengan bantuan Pas.

“Pas juga berjasa kepada MCA kerana satu-satunya Parlimen yang dimenangi MCA semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu Ayer Hitam, dimenangi dengan bantuan Pas,” katanya.

Beliau malah percaya jika BN dan Pas bergabung semasa PRU-14, MCA mampu menang di empat lagi kerusi Parlimen iaitu Tanjong Malim, Raub, Bentong dan Tanjung Piai.-UTUSAN ONLINE