Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki berkata, pihaknya sering melakukan semak dan imbang antara empat komponen parti iaitu DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebab itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP Bahagian Serdang menganggap MCA perlu bertindak dengan lebih bijak sebagai parti pembangkang.

“Saya rasa manifesto MCA itu agak ketinggalan sebab dalam Pakatan Harapan sendiri ketika ini memang sudah melakukan semak dan imbang. Kita bukannya ada satu parti, kita ada empat buah parti dan kadang-kadang apabila DAP mengeluarkan kenyataan yang salah, rakan-rakan Pakatan Harapan akan tolong memperbetulkannya.

“Ini merupakan satu semak dan imbang dalam Pakatan Harapan dan mungkin MCA lupa mengenai satu perkara, bukannya jadi wakil DUN baru nak melakukan semak dan imbang, saya tak rasa begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan bendera Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan di Batu 11, Cheras di sini, hari ini.- UTUSAN ONLINE