Bekas Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, MCA sepatutnya berpijak di bumi yang nyata dan membuang mentaliti penafian kerana parti itu yang sebenarnya telah ketandusan sokongan daripada masyarakat Tionghoa sejak 2008.

"MCA perlu bermuhasabah diri, sudahlah mereka gagal menjadi juara kepada masyarakat Tionghoa dan pada masa yang sama tidak digemari orang Melayu, ini adalah kesalahan yang berganda atau 'double jeopardy'.

"Parti itu perlu ada hala tuju yang lebih jelas, jangan hanya menuding jari lagi (kepada BN) kerana takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong telah keciciran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas Perhimpunan Agung MCA ke-65 semalam yang sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata, BN telah mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara dan setiap parti komponen memerlukan penghayatan dan penilaian semula bagi mentransformasikan parti masing-masing.

Mengulas lanjut, Idris membidas sikap kepemimpinan parti komponen BN itu yang bukan sahaja gagal membaca kehendak dan keperluan masyarakat Tionghoa malah tidak mampu memperoleh keyakinan kaum tersebut namun tetap menyalahkan BN.

"Dengan satu kerusi di Parlimen, lebih baik MCA diam dan lihat saja. Dikhuatiri kenyataan dangkal mereka akan menebalkan kebencian rakyat Malaysia termasuk masyarakat Tionghoa sendiri," kata Idris. - UTUSAN ONLINE