Ini berikutan MCA dilihat terlalu mendahului, tidak berbincang dan membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira pandangan ke semua lima parti teras gabungan. Bagi mengulas mengenai perkara itu dari sudut pandang UMNO, wartawan AZMAN IBRAHIM telah menemubual Ketua Penerangan UMNO, DATUK DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH.

UTUSAN: Pada pandangan Datuk, apakah yang tersirat di sebalik keputusan MCA untuk membubarkan Barisan Nasional (BN)?

 

SHAMSUL ANUAR: Saya rasa tujuan MCA adalah supaya partinya kekal relevan dan mendapat sokongan masyarakat Cina. Mereka mungkin fikir de­ngan bubarkan BN, MCA akan kembali pulih. Mereka juga barangkali mahu gambarkan jika BN dibubar atas gesaan mereka, maka harapan mereka adalah masyarakat Cina akan melihat mereka hebat kerana BN telah mereka kuasai. Persoalannya, kenapa mereka tidak membuat keputusan meninggalkan BN saja? Pada saya, MCA bimbang akan senasib dengan parti Gerakan jika terus keluar dari BN.

Sebagai rakan lama dalam komponen BN, nasihat saya, MCA mesti bersikap rasional.

UMNO sendiri mengakui kelemahan sendiri malah memohon maaf kepada rakyat sebagaimana dilakukan oleh Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 lalu akibat kegagalan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). UMNO mengakui kelemahan dan kemudian memperbaiki diri.

Sebaliknya seolah-olah tidak berlaku kepada MCA dan masih mahu menyalahkan pihak lain akibat kegagalan di PRU-14 lalu.

Saya tidak yakin MCA akan pulih meskipun jika BN dibubar selagi MCA sendiri tidak melakukan perubahan terhadap dirinya. Oleh itu, saranan saya, adalah lebih sesuai MCA menjenamakan semula dirinya. Ini lebih baik bagi menguatkan MCA sendiri.

Adakah tindakan MCA itu ada kaitan dengan kerjasama yang wujud antara UMNO dan Pas?

MCA dari awal sudah tidak selesa dengan hubungan UMNO dan Pas. Dalilnya dapat dilihat dari kenya­taan-kenyataan yang dibuat Pre­siden dan pimpinan MCA sendiri.

Bagi saya, MCA dalam keada­an apa pun mahu menunjukkan kepada masyarakat Cina bahawa mereka tidak setuju dengan Pas.

Justeru, kalau dikatakan hubungan UMNO dengan Pas adalah sebab utama, rasanya tidak berapa tepat. Kalau ia sebahagian punca, itu mungkin. Namun, saya tetap melihat MCA memilih cara ini untuk kuatkan kembali partinya. Bagaimanapun mereka tidak sedar bahawa pendekatan ini kurang tepat dan tidak kena sama sekali.

Saya juga ingin bertanya kenapa seolah MCA tidak mahu menyedari bahawa landskap politik telah berubah? Apakah MCA tidak memahami ‘signal’ yang ditunjukkan oleh rakyat dalam PRU-14? Apakah mereka tidak memahami siapa yang menolak mereka di PRU-14? Semua kerusi DUN dan satu Parlimen di menangi MCA adalah kerusi majoriti Melayu.

Lihat MIC mereka memahami keadaan telah berubah. Mereka tahu hubungan baik UMNO dan Pas juga memberikan kebaikan kepada mereka. Malah, hubungan ini juga baik kepada MCA sebenarnya. Justeru, MCA perlu akui bahawa suasana politik telah berubah dan kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

Adakah pendirian MCA itu menjejaskan usaha menyatukan orang Melayu dalam usaha mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan?

Tidak terjejas sama sekali. UMNO adalah parti berprinsip dan perjuangannya sangat jelas. Memang UMNO parti yang berjuang untuk kepentingan orang Melayu dan bumiputera. Namun, dalam keadaan yang sama UMNO juga membela kepentingan kaum-kaum lain. Inilah UMNO yang sejak dahulu banyak bertolak ansur dengan orang lain.

Menyatukan orang Melayu dan mempertahankan apa yang termaktub dalam perlembagaan adalah falsafah perjuangan UMNO.

UMNO tidak rasis dalam soal ini kerana apa yang diperjuangkan adalah apa yang termaktub dalam Perlembagaan. UMNO tidak menuntut lebih daripada itu, maka dalam keadaan apapun UMNO akan tetap mempertahan serta memperjuangkannya.

Hakikatnya, perjuangan UMNO ini juga memberikan kebaikan kepada orang lain. Percayalah jika kita hormat menghormati antara satu sama lain, negara akan menjadi aman.

Walaupun himpunan Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak ada kaitan dengan rusuhan kuil di Subang Jaya baru-baru ini tetapi ada pihak berpendapat himpunan itu tidak sesuai diadakan, apakah pandangan Datuk?

Mereka yang mengatakan perhimpunan ini tidak sesuai diadakan kononnya isu ICERD telah selesai, mengganggu ketenteraman awam, bimbang berlaku kekecohan, demonstrasi bukan kaedah sesuai dan pelbagai alasan lagi adalah mereka dahulu yang se­ring mengadakan perhimpunan iaitu di pihak kerajaan hari ini. Kenapa dulu boleh, dan sekarang tidak?

Malah, perhimpunan ini akan dilakukan dengan aman dan mematuhi aturan undang-undang. Malah permit himpunan pun telah diperoleh.

Perhimpunan ini penting bagi menyata dan menggambarkan kesepakatan orang Melayu Islam. Malah, apa yang kita perjuangkan ini juga untuk kepentingan Melayu dan bumiputera, anak negeri termasuk Orang Asli dan lain-lain.

Maknanya, perjuangan ini untuk majoriti rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Dalam waktu meraikan kesyu­kuran atas keputusan kerajaan mengenai ICERD, namun, kita bimbang kerana tiada jaminan ICERD ini kekal tidak diratifikasikan pada masa akan datang.

Ini melihat pada rekod kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ucapan beberapa pimpinan utama mereka terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, perhimpunan ini penting supaya jangan sesekali berdolak-dalik dan diratifikasikan ICERD. Malah, himpunan aman ini juga gambaran apa yang rakyat alami ketika ini. Rakyat tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, harga barang melambung tinggi, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional tidak selesai, isu nelayan petani dan pekebun kecil dibiarkan, isu pembuangan pekerja, nilai ringgit dan pasaran saham menjunam dan banyak lagi isu yang tiada penyelesaian bersungguh oleh kerajaan. Himpunan ini penting pada kita, maka kita harap orang ramai menyertainya.

Apakah seruan Datuk kepada seluruh orang Melayu tanpa mengira fahaman politik dalam memastikan nasib orang Melayu terus terbela dan tidak diperkotak-katikkan?

Orang Melayu mesti akui hakikat walaupun masih ada orang Melayu dalam kerajaan PH, namun, banyak perkara telah dan terpaksa dilepaskan pada orang lain. Ini bermakna masa depan orang Melayu sangat mencabar dan mereka yang berada dalam kerajaan PH gagal menjalankan peranan mereka.

Kita mesti bersatu, seia dan sekata. Dalam kea­daan ini tiada cara lain, kita kena kembalikan kuasa pada parti yang benar-benar menjaga masa depan orang Melayu. Untuk benar-benar bersatu, semua pemimpin parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mesti berubah sikap dan meletakkan kepentingan Islam dan Melayu serta kepen­tingan bumiputera dan negara ini melebihi kepen­tingan lain. Kita mesti bersama untuk kali ini.

Dalam keadaan UMNO bukan lagi kerajaan ke­cuali Perlis dan Pahang, membela dan membantu rakyat mesti diteruskan walaupun pendekatannya mungkin berubah. UMNO mesti terus dekat, memperjuang, mempertahankan dan membela isu yang rakyat hadapi. UMNO mesti di hati rakyat.