Pengerusi Lembaga Disiplin MCA, Tan Sri Chor Chee Heung berkata, mereka yang dipecat terdiri daripada sembilan ahli MCA Johor, dua dari Perak dan seorang dari Kedah.

Menurutnya, MCA perlu mengambil tindakan tegas kera­na perbuatan mereka itu telah mensabotaj calon yang dipilih bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selain menjejaskan imej parti.

“Mereka yang diambil tindakan pemecatan itu terdiri daripada tujuh orang yang bertan­ding atas tiket pembangkang termasuk Bebas sementara yang lain menjadi pencadang, penyokong dan saksi calon parti lawan semasa penamaan calon semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil berdasarkan Perkara 23 Perlembagaan MCA selepas parti menerima aduan dan membuat siasatan.

“Tindakan pemecatan itu dibuat atas cadangan Majlis Presi­den MCA kepada Lembaga Disiplin MCA selepas satu mesyu­arat tergempar parti diadakan malam tadi,” jelasnya.

Beliau memberitahu, ahli yang dipecat itu ialah Ting Choon Chai dan Lim Yak Hong yang bertanding atas tiket Bebas di Johor sementara Tee Boon Tsong dan Ng Yak Howe masing-masing bertanding atas tiket DAP di negeri sama.

“Chin Kwai Leong dan Chi Kwai Heng dari Perak masing-masing didapati bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM) di negeri Perak sementara ahli MCA Cawangan Aston, Bukit Mertajam, Yeo Keng Chuan bertanding atas tiket PKR di Kulim, Kedah.

“Di samping itu, lima ahli MCA lain yang dipecat kerana menjadi pencadang, penyokong dan saksi kepada calon pembangkang berkenaan,” katanya.