Yang Dipertua Perkasa Sabah, Datuk Rekan Hussin berkata, dakwaan itu adalah satu putar belit, malah Ibrahim juga tidak pernah cuba menyebarkan konsep ketuanan Melayu di Sabah, sebaliknya beliau datang bagi membantu pemimpin Perkasa negeri dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat pribumi Sabah.

Tegas beliau, kaum pribumi yang diperjuangkan pertubuhan itu tidak terhad kepada orang Islam dan Melayu sahaja tetapi turut melibatkan penganut Kristian daripada pelbagai kaum yang merupakan masyarakat majoriti Sabah tanpa sebarang pilih kasih.

“Beliau tidak pernah bercakap soal ketuanan Melayu tetapi ada menyebut pribumi Sabah mesti bersatu dan jangan bumi pribumi dipijak oleh minoriti.

“Ini bermaksud beliau meminta kaum minoriti di Sabah supaya bersyukur dengan apa yang ada tanpa meminta berlebihan kerana keutamaan adalah kepada masyarakat pribumi yang masih jauh ketinggalan daripada segi ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ibrahim ketika berucap merasmikan Persidangan Perkasa Parlimen Tuaran meminta supaya masyarakat pribumi daripada pelbagai agama bersatu memperjuangkan hak mereka seperti dalam soal ekonomi, pendidikan dan pemilikan tanah adat.

Selesai persidangan berkenaan, Ibrahim meluangkan masa kira-kira sejam termasuk menaiki bot selama 30 minit ke Kampung Penimbawan bagi menyerahkan bantuan wang tunai, bekalan beras dan air mineral kepada 11 keluarga di situ yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus terbakar.

MCA Sabah bagaimanapun menganggap kehadiran Ibrahim sebagai cuba mengganggu keharmonian masyarakat negeri ini serta cuba membawa masuk konsep ketuanan Melayu.

Mengulas lanjut, Rekan berkata, MCA juga adalah parti yang berasal dari Semenanjung, justeru mereka sepatutnya berasa malu apabila meminta Perkasa meninggalkan Sabah sedangkan pertubuhan berkenaan bukanlah sebuah parti politik namun telah diterima rakyat berbilang kaum kerana sentiasa menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apakah yang telah dilakukan oleh MCA  untuk memperjuangkan pribumi Sabah atau mereka hanya mencari kuasa politik bagi membela kaum Cina.

“MCA Sabah perlu ingat ahli Perkasa negeri mencecah 85,000 orang di semua 25 Parlimen, rasanya lebih ramai daripada ahli MCA.

“Pimpinan Perkasa Sabah adalah daripada pelbagai etnik pribumi termasuklah yang beragama Kristian dan memegang jawatan-jawatan penting dalam pertubuhan,” jelasnya.