Meskipun suara mereka dihormati selaku parti komponen, tetapi adakah MCA sedar bahawa cadangan itu langsung tidak masuk akal berdasarkan sumbangannya kepada prestasi BN.

MCA kini diibaratkan hidup segan, mati tidak mahu kerana bukan lagi disokong masyarakat Cina yang hampir keseluruhannya menyokong DAP.

Apa yang mengejutkan adalah MCA tidak pula berani mengumumkan keluar BN, walaupun sebelum ini beberapa pemimpinnya mengacah mahu berbuat demikian.

Cadangan membubarkan BN lebih merupakan usaha menutup kelemahan MCA yang berprestasi teruk sejak pilihan raya umum 2008.

Seandainya membentuk BN baharu sekali pun, apakah gabungan baharu nanti benar-benar berkualiti jika parti lemah seperti MCA masih menjadi komponen di dalamnya?

Kepada Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, di manakah maruahnya setelah beliau sendiri menang di Parlimen Ayer Hitam, Johor yang majoritinya adalah pengundi Melayu yang pasti menyokong pemimpin Cina itu atas semangat BN.

Barangkali Ka Siong tidak mahu keseorangan dan suaranya tidak dipedulikan dalam Dewan Rakyat, membuatkan parti itu mengambil ‘langkah selamat’ dengan hanya mencadangkan BN dibubarkan.

Tetapi daripada menjadi duri dalam daging, adalah lebih baik MCA mengikut jejak langkah Gerakan yang keluar daripada BN tanpa provokasi yang menyakitkan hati komponen BN lain.

Jika sekali pun isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlalu berat untuk dipikul, MCA perlu menilai proses jangka panjang bahawa masalah berkenaan dilakukan oleh pemimpin BN yang terdahulu.

Semua komponen BN kini diterajui muka-muka baharu, dan sepatutnya menggunakan strategi politik yang lebih cerdik dan bukan terus menyalahkan diri dengan isu 1MDB.

Perhimpunan Agung MCA semalam gagal memberi gambaran parti itu cukup bersedia untuk menyerang lawan, sebaliknya seolah-olah membuatkan BN terus menjadi bahan jenaka politik.

Demi memastikan gabungan pembangkang yang ada ketika ini benar-benar berkemampuan memantau tingkah laku kerajaan Pakatan Harapan, adalah lebih baik MCA yang dibubarkan, bukan BN.