Beberapa pemimpin MCA sebelum ini dilihat ‘mengacah’ untuk keluar BN kerana kecewa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun berbekalkan satu sahaja kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam membuatkan parti itu berbelah-bahagi sama ada BN memerlukan MCA atau MCA sebenarnya perlukan BN.

Bermacam alasan diberikan kononnya isu-isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlalu berat untuk dipikul sehingga membuatkan parti itu kalah teruk, namun ketiadaan pemimpin berkarisma juga menyebabkan mereka hilang taring melawan DAP.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO tidak akan menghalang MCA keluar BN sekiranya itulah formula terbaik menambat semula hati kaum Cina.

Beliau berkata, sebab itu UMNO faham MCA tidak menjemput komponen lain dalam BN ke perhimpunan agung tahunan parti itu ke­rana percaya mereka tidak mahu gangguan dalam membuat keputusan sama ada mahu kekal dalam BN atau sebaliknya.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi BN sebelum ini, kita sudah menyatakan tiada halangan kepada mereka untuk keluar jika merasakan keputusan itu dapat mengembalikan sokongan orang Cina.

“Maka jawapan MCA pada waktu itu mereka mahu hal berkenaan diputuskan perwakilan dalam perhimpunan nanti. Mungkin sebab itu mereka tidak menjemput kita kerana jika ada ucapan daripada parti lain macam-macam akan berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah anak yatim Raudhatul Al Faeez di Gombak yang terbakar pada 23 November lalu, di sini hari ini.

Seandainya MCA memutuskan untuk keluar BN, Ismail Sabri berkata, UMNO tidak menolak sebarang kemungkinan kedua-dua parti boleh mengadakan semula ke­rjasama sebelum atau selepas Pi­lihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengikut laporan, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, keputusan kekal atau keluar akan dibuat esok dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka memberi kenyataan kepada media selepas itu.