Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, ‘Perhimpunan MCA-Gerakan Teguh Bersama’ yang julung kali diadakan itu dijangka dihadiri kira-kira 2,000 ahli daripada kedua-dua parti berkenaan.

Kata beliau, pemimpin MCA dan Gerakan dari peringkat pusat sehingga bahagian juga dijemput untuk menghadiri perhimpunan berkenaan yang diadakan di Dewan San Choon, Wisma MCA.

“Perhimpunan yang dianjurkan itu antaranya bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama MCA dan Gerakan, menyatakan komitmen kedua-dua parti dalam persiapan menghadapi PRU-14 dan mempamerkan segala kejayaan yang dicapai oleh parti berkenaan.

“MCA dan Gerakan mempu­nyai pengalaman kerjasama yang agak lama di bawah Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam menyokong aspirasi tadbir urus yang baik, konsep kesederhanaan dan masyarakat pelbagai kaum yang diamalkan di negara ini.

“Malah, perhimpunan ini amat bermakna kerana buat pertama kali sejak beberapa tahun ke­belakangan ini, memperlihatkan hubungan erat kedua-dua parti dengan matlamat membangunkan negara,” katanya dalam sidang akhbar Perhimpunan MCA-Gerakan Teguh Bersama, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden MCA, Senator Datuk Dr. Hou Kok Chuang; Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng.

Dalam pada itu, Ka Chuan berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan perbincangan sebanyak lima kali sejak dua bulan lalu.

“Kami mempunyai konsensus yang baik. Strategi juga telah dirangka untuk memperkasakan hak dan peluang komuniti Cina bagi memastikan golongan itu memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara.

“Matlamat kami bukan sahaja menyatukan masyarakat Cina tetapi semua rakyat Malaysia. Ja­di, sebagai permulaan, Perhimpunan MCA-Gerakan Teguh Bersama ini akan menjadi contoh kerjasama kedua-dua parti ber­kenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Teck Meng berkata, MCA sebagai parti kaum Cina terbesar di negara ini akan membantu Gerakan meraih soko­ngan daripada masyarakat Cina.

“Melihat kepada keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11, DAP hanya memenangi tujuh kerusi berbanding 15 kerusi sebelum ini. Gerakan mempunyai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang,” katanya.