Tan Chee Teong
TAN CHEE TEONG

Calonnya, Tan Chee Teong berkata, beliau pada asalnya tidak mahu membuat sebarang aduan dan memperbesar-besarkan isu itu tetapi tindakan Pakatan Harapan membuat laporan polis menyebabkan beliau tampil mempertahankan diri.

Malah, katanya, permohonan maaf yang diminta oleh pesaingnya, Wong Siew Ki dalam tempoh 24 jam tidak akan dilayan selagi siasatan pihak polis masih dijalankan.

“Permohonan maaf itu bukanlah perkara yang penting bagi saya buat masa ini, sekarang ini kita tunggu hasil siasatan terlebih dahulu.

“Saya tak nak buat laporan polis pun sebenarnya, tetapi sudah sampai satu tahap saya perlu melakukannya dan saya percaya pihak berkuasa akan menyiasat dengan menyeluruh serta mencari kebenaran di sebalik apa yang berlaku ketika ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah PRK DUN Balakong Pakatan Harapan, Ean Yong Hian Wah yang mendesak MCA supaya meminta maaf kepada DAP dalam tempoh 24 jam jika enggan dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Desakan itu dibuat selepas pengendali laman Facebook calon MCA, Tan Chee Teong memuatnaik video sidang akhbar dengan menggunakan tajuk ‘DAP telah merosakkan gegantung MCA’ dalam bahasa Mandarin pada Sabtu yang lalu sebelum video tersebut dipadamkan selepas itu. - UTUSAN ONLINE