Mah Hang Soon
Mah Hang Soon

Mengikut laporan portal Malaysiakini, Hang Soon dalam ucapan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA berkata, DAP seolah-olah menjadi pengampu kepada kerajaan kerana tidak menegur berhubung beberapa perkara seperti dasar yang mengutamakan bumiputera dan Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Bukan saja DAP tidak membetulkan mereka (kerajaan), tetapi menyokong dan berhujah untuk mereka. Semua ini jelas menunjukkan DAP perlahan-lahan mengkhianati kaum Cina.

“Sekian lama DAP mengecam MCA, namun hari ini Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sentiasa cuba mengampu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hang Soon turut tidak berpuas hati apabila kerajaan menerusi Belanjawan 2019 hanya memperuntukkan RM5.5 juta kepada Universiti Tunku Abduk Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) berbanding sebelum ini iaitu sebanyak RM30 juta.

Hang Soon berkata, DAP seolah-olah membantu kerajaan Pakatan Harapan (PH) merampas hak kaum Cina dan perkara itu dapat dilihat menerusi penarikan peruntukan untuk TARUC dalam Belanjawan 2019.

“Maka kita perlu kekal waspada dengan dasar yang merugikan kaum Cina yang dilaksanakan secara diam-diam dengan bantuan DAP, konco paling setia untuk tuan besarnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE