Semalam Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr. Idris Ahmad antara beberapa nama diketengahkan untuk mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.

Menurut Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, kerajaan negeri Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud, beliau menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan PKR.

ADUN Seri Serdang dari Parti Amanah Negara (Amanah) itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai keputusan yang akan dibuat dan bersedia berkhidmat tanpa mengira siapa bakal dilantik menjadi Menteri Besar baharu.

“Saya akur dengan pemilihan yang dibuat oleh pucuk pimpinan PKR dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat walau siapapun dipilih menerajui Kerajaan Negeri nanti,” katanya dalam sidang akhbar ketika Majlis agihan bakul makanan Ramadhan kepada pelarian Rohingya anjuran Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim di Sekolah Knowledge Garden Learning Center di Serdang, Selangor.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengurus Besar Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd. Nor, Timbalan Pengerusi, Dr. Azrin Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Etnik Rohingya Arakan (ERCA) Mohd. Rafique Khairul Bashar.

Dalam majlis itu beliau juga mengumumkan akan memindahkan Sekolah Knowledge Learning Center di Jalan Raya 3, Serdang ke sebuah perpustakaan hipermedia lama milik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Saya telah berunding dengan pihak PBT untuk memanfaatkan bangunan tingkat dua rumah kedai yang dahulu dikenali sebagai perpustakaan awam dijadikan sekolah untuk pelarian etnik Rohingya.

“Selain itu, saya juga meminta masyarakat di Serdang supaya berganding bahu menubuhkan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang baharu untuk membantu menguruskan sekolah mereka nanti.

“Apabila wujud pengurusan dan pentadbiran yang lebih baik, maka lebih mudah untuk hulurkan bantuan dan sumbangan kepada warga Rohingya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE