TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail
TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail

Sehingga kini, semua pihak yang berkepentingan dalam soal itu telah ‘bersuara’.

Mereka adalah Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalan beliau yang juga penyandang jawatan nombor satu negeri itu, Datuk Seri Azlan Man.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut ‘bersuara’ dalam titah yang menzahirkan hasrat baginda dalam satu majlis baru-baru ini.

Dalam hal ini, Shahidan selaku ketua parti yang memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah pun menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim sebagai calon. Dipercayai pencalonan itu mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya lapan daripada 15 orang wakil rakyat di negeri ini.

Pada masa sama, Azlan memberitahu, tiada perbincangan dibuat berhubung perkara itu.

Jika sekiranya Azlan hendak dicalonkan (kekal sebagai MB) pula, mungkin sukar kerana setakat ini hanya seorang wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri-ADUN Kayang) berada di belakang beliau.

Dalam usaha itu, timbul pula baru-baru ini cadangan untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan iaitu gabungan antara Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai tiga wakil rakyat dan dua orang lagi, daripada Pas.

Perkara ini didedahkan seorang wakil rakyat Pas. Namun usaha ini juga tidak menjadi kenyataan, kerana gabungan tersebut hanyalah tujuh orang (termasuk Azlan) dan gagal mendapat separuh daripada keseluruhan wakil rakyat.

Menyorot kembali titah Tuanku Syed Sirajuddin yang berkuasa mutlak dalam pelantikan MB, baginda memberi jaminan akan memastikan pemegang kerusi nombor satu negeri itu bukan untuk kepentingan satu puak atau individu tertentu.

Lebih menarik baginda juga bertitah, bahawa mahu mengenali wakil-wakil rakyat secara peribadi sebelum boleh membuat keputusan.

Jika mengambil kira beberapa faktor itu (untuk mengenali calon), adakah Tuanku Syed Sirajuddin berkenan berhasrat untuk memilih individu lain, disebabkan Ismail bukan orang bahari sebaliknya merupakan tokoh lama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di Perlis.

Dalam hal ini, terdapat seorang individu lain yang disebut-sebut sebagai MB iaitu ADUN Santan, Azizan Sulaiman.

Beliau dikatakan merupakan bekas pengurus cawangan sebuah bank selain berpengalaman luas di dalam politik negeri ini dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO Padang Besar.

Apa pun rakyat sudah pastinya menjunjung titah keputusan yang dibuat Tuanku Syed Sirajuddin dalam isu berkenaan yang diharapkan dapat diselesaikan segera demi kesejahteraan rakyat dan negeri ini. - UTUSAN ONLINE