Beliau mengangkat sumpah jawatan dan menerima tauliah pelantikan jawatan itu di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar serta Ahli Majlis Mesyua­rat Kerajaan Negeri (Exco) di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini.

Turut berkenan berangkat mencemar duli ke majlis tersebut ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) me­nyaksikan BN Pahang kembali membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan manakala PKR sembilan kerusi dan Pas lapan kerusi.

Wan Rosdy, 60, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang disandangnya sejak 2004 dengan majoriti 3,507 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar baharu menggantikan ADUN Pelangai, Datuk Seri Adnan Yaakob yang memegang jawatan berkenaan sejak empat penggal lalu.

Wan Rosdy yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri pada penggal lalu.

Sebelum bergelar ADUN Jelai, Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands itu pernah berkhid­mat sebagai Penolong Ketua Pegawai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) Perak, Pengurus Kompleks LPN Arau, Perlis; Pengurus Kompleks Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) Jerlun, Kedah; Pengurus Bernas Jertih, Terengganu; Pengurus Kanan Bernas Sungai Ranggam, Perak dan Pengurus Kanan Bernas Wilayah.

Pada majlis tersebut, Tengku Abdullah turut memberi per­kenan melantik lapan orang sebagai Exco yang terdiri daripada lima muka lama manakala selebihnya muka baharu yang mana portfolio mereka akan diumumkan kemudian.