Berita itu mulai tersebar di laman sosial sejak sejam lalu selepas akaun Facebook (FB) rasmi UMNO Kuala Terengganu memuatnaik ucapan tahniah atas pelantikan beliau dengan mendapat 83 komen dan 12 perkongsian.


Utusan Malaysia difahamkan ketika ini kesemua lapan Ketua UMNO Bahagian di Terengganu sedang mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kuala Lumpur sekali gus mengukuhkan desas-desus pelantikan tersebut.


Sementara itu, Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pelantikan itu belum dimuktamadkan lagi dan dijangka diumumkan malam esok.


“Saya tidak tahu dan tidak berani hendak komen. Itu cuma ‘rumours, anything can happen’ (khabar angin, apa-apa boleh berlaku).


“Kita tunggu pengumuman malam esok,” katanya di sini hari ini.


Sumber berkata, pelantikan itu dijangka diumumkan sendiri oleh Mohamad.


Teraju UMNO Terengganu ketika ini digalas oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengambil alih jawatan daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 14 Julai lalu.


Bagaimanapun, beliau mengesahkan akan melepaskan jawatan yang dipertanggungjawab kepadanya bagi memberi laluan kepada anak negeri menerajui tugas dan tanggungjawab tersebut kerana lebih memahami keadaan setempat.


Ahmad akan mengambil alih jawatan itu yang pernah disandangnya sebelum diserahkan kepada Ahmad Razif. - UTUSAN ONLINE