Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau mahu pengundi keluar mengundi Sabtu ini dan berharap peratus mereka yang berbuat demikian mencecah 80 peratus.

"Kalau dalam tiga PRK sebelum ini di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong peratus keluar mengundi di bawah 50 peratus, tetapi di Port Dickson kita mahu jumlah lebih besar, " katanya ketika berucap dalam ceramah mega Pakatan Harapan di PD Waterfront, di sini malam tadi.

Ceramah itu menyaksikan kehadiran Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri berkempen bagi Anwar dalam PRK tersebut.

Yang turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Wan Dr. Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi PH negeri, Aminuddin Harun.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapannya berkata, ceramah itu membuktikan perpaduan dan sokongan para pemimpin PH kepada usaha Anwar untuk ke Parlimen.

Ujarnya, ia juga memberi gambaran rupa bentuk kerajaan PH yang telah diangkat rakyat termasuk pengundi di Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

"Dengan sokongan kuat daripada pengundi, saya yakin Anwar akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen pada 15 Oktober ini di Dewan Rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE