Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, malah Maszlee secara elok boleh menolak secara sopan untuk tidak menjawab soalan yang berkaitan dengan warna stokiing supaya fokus berita terhadap lawatannya itu tidak lari.

“Kalau kita tidak mahu isu lain yang dijadikan bahan berita media massa, moleklah kita hanya jawab persoalan yang berkaitan majlis yang dihadiri.

“Atau dengan sopan kita boleh beritahu kepada wartawan; maaf ya, isu selain daripada lawatan saya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ini, nanti boleh dapat jawapan bertulis daripada pejabat saya kemudian,” menurutnya dalam akaun media sosial beliau itu,” katanya.

Menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau hari ini, Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menasihati Maszlee bahawa terdapat cara yang lebih baik bagi mengelakkan kenyataan menteri menjadi bahan berita.

Asyraf Wajdi memberikan respon tersebut sebagai reaksi kepada pihak tertentu yang cuba menyalahkan laporan media terutama Utusan Malaysia mengenai jawapan Dr. Maszlee berhubung isu warna pemakaian stoking di sekolah semalam.

Semalam, Dr. Maszlee dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan mengejut ke Jabatan Perubatan Kecemasan PPUM, memberitahu isu mengenai warna stoking akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Jawapan beliau itu mendapat liputan meluas oleh pelbagai agensi media, namun ada pihak yang hanya menyalahkan Utusan Malaysia kononnya tajuk laporan berita oleh akhbar tersebut mengelirukan pembaca.

Asyraf Wajdi juga merasakan lebih baik Setiausaha Akhbar Maszlee turut membuat kerja lebih sikit, dengan mendapatkan soalan awal yang ingin ditanyakan oleh wartawan atau memaklumkan kepada wartawan bahawa menteri hanya akan menjawab soalan berkaitan dengan majlis yang dihadiri sahaja. - UTUSAN ONLINE