Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Pakatan Harapan sudah enam bulan mentadbir negara, tetapi mereka berterusan mempersalahkan beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, selepas mendakwa peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM36 juta hilang, kini Maszlee menuduh wang untuk susu kanak-kanak di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M) juga telah hilang.

Menurut Najib, peruntukan tersebut tidak hilang, sebaliknya dana untuk program tersebut bagi tahun ini tidak dilulus dan disalurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Susu sekolah tak hilang. Malangnya program susu ini tidak diteruskan untuk tahun ini selepas PH menang kerana dana peruntukan untuk tahun ini tidak diluluskan dan disalurkan oleh kerajaan PH sendiri.

“Sekali lagi didapati kerajaan PH sendiri yang salah tetapi Menteri Pendidikan mahu mempersalahkan saya dan kerajaan BN dahulu. Sudah lebih enam bulan mentadbir, sampai bila kerajaan PH mahu menyalahkan kerajaan BN dahulu? Adakah Menteri Pendidikan kita sekarang mahu mendidik anak-anak muda kita untuk berbohong dengan bersungguh-sungguh dan membuat tuduhan liar sebelum menyiasat,” katanya.

Najib berkata demikian menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini yang turut memaparkan muka hadapan Mingguan Malaysia yang bertajuk Susu Sekolah Tidak Hilang. - UTUSAN ONLINE