Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat pelbagai contoh bagi membuktikan perkara tersebut, lebih-lebih lagi apabila ribuan penduduk hadir dalam majlis dihadiri beliau hari ini.

“Buktinya pada hari ini, kita akan melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, mahsyurkan Daerah Kecil Sungai Rambai dan melancarkan Tugu Integriti.

“Ini tandanya sebagai kerajaan, kita dapat memikirkan kaedah-kaedah lebih kreatif untuk kemudahan rakyat. Apabila mementingkan politik, negeri yang patut lebih maju daripada Melaka, air pun tidak boleh uruskan sehingga menyusahkan satu juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Sungai Rambai sebagai Daerah Kecil dekat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, isteri­ Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Pada masa sama, turut memeriahkan majlis pada pagi ini adalah Pengerusi Permodalan Usahawan Nasional Berhad, Tan Sri Mohd. Ali Rustam serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd. Rahman bersama kira-kira 20,000 hadirin. - UTUSAN ONLINE