Rata-rata penduduk mengakui ‘terasa hati’ apabila mendapat tahu anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tergamak menghina golongan berpendapatan rendah seperti mereka.

Said Saleh Busu
 

Said Saleh Busu, 55, yang mencari rezeki dengan mengutip hasil hutan bersama tiga anak berkata, mereka memperoleh pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 sebulan.

Katanya, memandangkan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keluarga yang ramai, pemberian BR1M oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ibarat rahmat besar kerana dapat menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

“Dengan keadaan kampung jauh dari bandar, kerja apalah sangat yang kami boleh buat selain kutip hasil hutan dan jual di tepi jalan.

“Memang kami miskin tetapi kami juga manusia dan perlu dibantu. Kalau orang kaya macam dia (Mokhzani) tak mahu bantu tak apa, tapi janganlah perlekeh bila kerajaan mahu bantu kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Napi Tanah

Napi Tanah

Seorang lagi penduduk, Napi Tanah, 80, pula berang apabila dikatakan tidak pandai berdikari dan hanya mengharapkan bantuan kerajaan oleh Mokhzani.

“Kami berdikari sejak zaman bapa dan datuk saya lagi. Tapi zaman sekarang sudah moden, harga barang naik. Salahkah kami terima bantuan kerajaan? Takkan nak tolak.

“Bila dapat BR1M, sudah tentu saya gembira sebab dengan duit itu, saya dapat beli barang dapur dan macam-macam keperluan untuk kegunaan keluarga,” katanya.

Jamal Suda

Jamal Suda

Rakannya, Jamal Suda, 52, yang bekerja di ladang pula berkata, Mokhzani yang tidak pernah hidup susah tidak mungkin pernah merasai keperitan hidup menjadi golongan miskin.

“Kami tidak minta jadi miskin. Siapa pun tak mahu jadi miskin. Kami sudah usaha tapi rezeki kami banyak ini sahaja. Ini pun salah kami ke?” Katanya.

Dalam ceramahnya di Kedah kelmarin, Mokhzani yang juga antara individu Melayu terkaya memperlekehkan penerima BR1M, dengan mengatakan tiada apa yang perlu dibanggakan mengenai bantuan itu.

Katanya, meskipun kerajaan gembira kerana mampu membantu rakyat menerusi BR1M, rakyat sebenarnya lupa bantuan itu menunjukkan mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri. - UTUSAN ONLINE