Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, proses yang perlu dilalui bagi menukar hubungan ta’awun tersebut kepada tahaluf masih panjang, termasuk perlu dibincangkan dalam muktamar tahunan parti akan datang.

“Hubungan dengan UMNO belum sampai ke situ (tahaluf) sebagaimana kita pernah bertahaluf dengan PKR, DAP.. Dengan UMNO tidak tahu lagi, tengok keadaan. Sebab itu kita tubuhkan jawatankuasa bersama untuk bincang keperluan tahaluf, kalau ada keperluan, kita bawa ke muktamar.

“Sekarang ini masih terlalu awal, merisik pun belum lagi, kalau guna bahasa, kita baru main mata sahaja, kita tumpu pada PRK sahaja dulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar mengulas mengenai perkembangan kerjasama antara Pas dengan UMNO sejak kebelakangan ini yang dilihat bertambah erat.

Malah, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan mengemukakan cadangan supaya Barisan Nasional (BN) dan Pas membentuk kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir kedua-dua parti sebagai usaha mengukuhkan agenda perpaduan ummah.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, kedua-dua belah pihak belum mengadakan perbincangan secara rasmi mengenai cadangan Mohamad, namun beliau secara peribadi berpendapat pentadbiran sedia ada wajar dikekalkan.

“Pada saya biar kekal sehingga habis penggal, kita bukan suka nak ambil jalan tengah. Pada masa sekarang, lebih baik kita jadi pembangkang yang gagah daripada menjadi kerajaan. Pas boleh mainkan peranan pembangkang di Kedah dan Perlis, itu lebih baik,” katanya.

Mengenai dakwaan Pas bahawa akan wujud undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika persidangan Parlimen yang dikatakan meleset, Mohd. Amar berkata, perkara itu boleh diibaratkan seperti ramalan cuaca.

“Parlimen ini berlangsung sebulan, kita tengoklah. Kalau tak jadi, tak ada apa, macam ramalan cuaca.

“Dijangka hujan, kalau tak hujan nak kata macam mana? Ramalan cuaca kata hujan dan ribut, tiba-tiba terang kita nak salahkan siapa? Nama pun ramalan, “ katanya. - UTUSAN ONLINE