Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, dalam tempoh itu, jentera BN perlu mempergiatkan usaha mendekati masyarakat di peringkat akar umbi dan me­ningkatkan sokongan rakyat kepada parti tersebut.

“Sebenarnya, apabila penggal pentadbiran memasuki tahun ke empat, secara automatik (dekat dengan pilihan raya umum) dan kita sekarang sudah masuk tahun kelima pun.

“Kita sudah masuk 'masa kecederaan' dan pada bila-bila masa (pilihan raya umum) akan diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sime Darby Walk sempena Ming­gu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar; Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Holding Berhad, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Presiden me­rangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Program berjalan kaki sejauh 3.8 kilometer itu mendapat sam­butan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 6,500 orang daripada pelbagai peringkat lapisan usia.

Sementara itu, Mohd. Bakke berkata, Sime Darby bergerak proaktif dalam usaha melestarikan alam sekitar apabila sehi­ng­ga kini menanam semula kira-kira 870,000 batang pokok di seluruh negara.

Katanya, program yang bermula pada 2008 itu disasarkan menanam semula kira-kira sejuta pokok menjelang 2020.

“Antara projek besar yang dijalankan adalah di Ulu Segama, Sabah dengan Sime Darby pada masa ini menanam kira-kira 330,000 pokok di kawasan seluas 5,400 hektar.

“Kami berharap generasi akan datang tidak hanya melihat spesies pokok terancam menerusi Internet dan gambar tetapi melihat sendiri pelbagai jenis pokok di hutan hujan tropika negara ini,” katanya.

Mohd. Bakke berkata, program penanaman semula pokok daripada spesies terancam oleh Yayasan Sime Darby itu dilakukan secara berterusan di kawasan dikenal pasti di seluruh negara.