Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, tindakan kurang bijak DAP sering menjadi modal untuk rakyat mempersoalkan perjuangan parti-parti pembangkang.

“Lihatlah apabila DAP menyekat guru agama mengajar di Sarawak, itu tindakan kurang cerdik malah menjadi modal untuk orang mengkritik pembangkang. Sejahat-jahat UMNO pun mereka tak buat kerja seperti itu.

“Gelagat DAP menunjukkan masa depan yang gelap buat pembangkang dan ia memberi keyakinan kepada UMNO.

“DAP boleh dapat undi daripada rakyat bukan Islam dan kawasan bandar tetapi yang menjadi mangsa adalah parti-parti lain dan kita tidak akan menanggung bebanan liabiliti yang dibuat oleh mereka, “ katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Titiwangsa Kali Ke-32 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Yang Dipertua Pas Titiwangsa, Khairul Anuar Abdul Manap dan Pemangku Naib Yang Dipertua Pas Titiwangsa, Yaccob Omar. -UTUSAN ONLINE