Idris Ahmad

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, hal ini kerana tindakan kurang bijak DAP sering menjadi modal untuk rakyat mempersoalkan perjuangan parti-parti pembangkang.

“Lihatlah apabila DAP menyekat guru agama untuk mengajar di Sarawak, itu tindakan kurang cerdik malah menjadi modal untuk orang mengkritik pembangkang. Sejahat-jahat UMNO pun mereka tak buat kerja seperti itu.

“DAP boleh dapat undi daripada rakyat bukan Islam dan kawasan bandar tetapi yang menjadi mangsa akhirnya adalah parti-parti lain seperti PKR, PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan kita (Pas) tidak akan menanggung bebanan liabiliti yang dibuat oleh mereka (kerana tidak bersama dalam Pakatan Harapan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Titiwangsa Ke-32 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Idris percaya pandangan berbeza dalam ka­langan pemimpin Pas berhubung kerjasama dengan PPBM bukan bermakna kepemimpinan tertinggi parti itu tidak sehaluan, sebalik­nya mereka mempraktikkan kebebasan bersuara sebagai prinsip.

“Sebagai seorang pemimpin tertinggi parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai hak untuk mengeluarkan pandangan sendiri malah beliau mestilah mempunyai pendapat tersendiri terhadap apa jua isu. Justeru, tidak timbul soal percanggahan dengan pemimpin Pas lain.

“Pandangan beberapa pemim­pin Pas langsung tidak mengelirukan, cuma tafsiran sahaja yang mungkin berbeza dan keputusan rasmi parti terhadap kerjasama dengan PPBM hanya akan diputuskan dalam mesyuarat pada April nanti,“ katanya.

Idris menambah, Pas akan bertanding di mana-mana kawasan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan tidak peduli jika perlu melawan parti-parti pembangkang lain seperti PAN dan DAP.

“Kita bertanding mengikut kekuatan parti di mana-mana kawasan dan jika perlu bersaing dengan parti-parti pembangkang lain, kita tidak akan biarkan mereka ganggu kawasan kita,” katanya.