Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, hasrat Maria untuk bertanding atas tiket Bebas tetapi menggunakan platform Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu sebenanrnya menunjukkan belang sebenar aktivis hak asasi manusia berkenaan.

“Jika anda bertanding menggunakan tiket (Pakatan) Harapan, anda telah memperdayakan orang ramai dengan pelbagai bentuk retorik yang selama ini menyokong Bersih.

“Kini jelas, dia (Maria) sudah menunjukkan belangnya yang sebenar dan mempunyai agenda tersembunyi. Itulah sebabnya Bersih seringkali menentang usaha yang dijalankan oleh kerajaan,” katanya melalui laman Twitter beliau hari ini.

Maria mengesahkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Bersih 2.0 hari ini, dan akan bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen di bawah tiket Pakatan Harapan yang diketuai DAP pada PRU-14.

Keng Liang menambah, jika diperhatikan gerak kerja Bersih, mereka sering melaung-laungkan mahukan pilihan raya yang bersih dan adil namun dalam masa yang sama tidak pula mengkritik DAP ketika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak mahu bercuti walaupun sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah.

“Jadi sekarang kita tahu apa agenda Bersih sebenarnya. Mereka sama ‘geng’ (seiringan) rupanya,” katanya.

Menurut Keng Liang lagi, kini baru beliau faham kenapa Bersih tidak menerima pelawaannya untuk menggunakan stadium bagi membolehkan pertubuhan bukan kerajaan itu menjalankan demonstrasi aman, sebaliknya terus memilih jalanan.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gabungan pembangkang itu belum memutuskan berhubung keputusan Maria itu.

“Apa yang kami tak mahu lihat adalah pertandingan tiga penjuru menjadi empat penjuru, lima penjuru dan enam penjuru kerana ia hanya akan memecahkan undi, dan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu, Maria dalam sidang akhbar hari ini yang mengumumkan hasratnya itu menyatakan dengan tegas bahawa, beliau hanya mahu bertanding kerusi Parlimen sahaja.

“If they don’t give me a Parliament seat, I won’t stand (Jika mereka (Pakatan Harapan) tidak memberikan saya kerusi Parlimen (untuk ditandingi), saya akan tarik diri),” katanya. - UTUSAN ONLINE