MOHD. RAZLAN MUHAMMAD RAFII
MOHD. RAZLAN MUHAMMAD RAFII

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Raffi berkata, tindakan Maria bertanding dengan menggunakan tiket Bebas menerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP membuktikan segala dakwaannya mengenai sistem pilihan raya hanyalah cerita dongeng semata-mata.

Menurut beliau, Maria tidak akan membuat keputusan untuk bertanding dalam PRU-14 sekiranya masih mempercayai sistem pilihan raya kekal tidak telus.

“Maria sendiri membuktikan dirinya adalah ‘kuda’ tunggangan yang dicipta pembangkang untuk mengatakan sistem pilihan raya di Malaysia ini adalah buruk dan tidak bersih.

“Walhal apa yang dimainkan pakatan pembangkang itu telah dirancang dengan teliti untuk mewujudkan omong-omong kosong dan persepsi untuk mengaburi mata rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Maria, mengesahkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Bersih 2.0 hari ini dan akan bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen di bawah tiket Pakatan Harapan yang diketuai DAP pada PRU-14.

Tambah Mohd. Razlan, keputusan Maria untuk bertanding dalam PRU-14 juga menjadi bukti bahawa Bersih 2.0 bukanlah sebuah pertubuhan bebas yang bertindak demi kepentingan rakyat.

“Dahulu apabila kita desak Maria untuk membalas tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tuduhan fitnah melibatkan 40,000 warga Bangladesh dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Maria tidak buat apa-apa.

“Begitu juga semasa tuduhan fitnah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah kepada Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin sehingga Nurul Izzah didapati bersalah di mahkamah, Maria turut diam seribu bahasa.

“Jika beliau benar-benar ikhlas mahu perjuangkan sistem pilihan raya Malaysia yang bersih dan adil, mengapa beliau tidak langsung mengeluarkan sebarang komen membalas tuduhan fitnah berkenaan? Jadi benarlah Maria adalah kuda tunggangan ciptaan pembangkang,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE