JEFRIZAL
JEFRIZAL

Namun ini berbeza dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang setakat ini masih berdiam diri walaupun ramai menantikan respons balas beliau terhadap jawapan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berhubung margin simpanan air.

Sebelum ini, Mohamed Azmin mahu membawa Dr. Zaini meninjau empangan bagi membuktikan Selangor mempunyai simpanan air mencukupi tetapi apabila isu sebenar diterangkan Ahad lalu iaitu membabitkan simpanan air terawat, Timbalan Presiden PKR itu masih belum membuka mulut.

Mengulas perkara ini, Pengerusi Rejim Ubah Selangor, Jefrizal Mohd. Jaafar berkata, Mohamed Azmin perlu memberikan jawapan dan fakta mengenai jumlah simpanan bekalan air terawat serta jangka masa bekalan tersebut mampu bertahan.

"Sebelum ini Mohamed Azmin lantang ingin mencampakkan Dr. Zaini ke dalam empangan hanya kerana beliau mendedahkan margin simpanan air tidak mencukupi.

"Apabila Dr. Zaini memberikan penjelasan lebih lanjut serta mempersoalkan mengenai bekalan air terawat serta masalah gangguan air, kenapa Mohamed Azmin berdiam diri," soalnya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Baru-baru ini Dr. Zaini mengeluarkan kenyataan margin simpanan air di Selangor pada masa ini berada pada kadar kosong peratus di mana bekalan tersebut sekadar cukup untuk diedarkan kepada pengguna menerusi paip dan tiada stok air lebihan dalam tangki besar bagi kawasan perumahan atau perindustrian.

Namun Mohamed Azmin cuba mengelak, menafikan kenyataan Dr. Zaini dan memberitahu bekalan air tidak bermasalah kerana air di empangan mencukupi.

Bukan itu sahaja, Mohamed Azmin berseloroh mahu 'mencampak' Dr. Zaini ke dalam empangan semata-mata untuk membuktikan bekalan air mencukupi serta mencabarnya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tambah Jefrizal, Mohamed Azmin perlu berhenti daripada memberi jawapan menyelamatkan diri termasuk mencipta isu baharu bagi mengelak menjawab soalan yang dikemukakan.

"Dr. Zaini sudah memberikan penerangan dengan lebih jelas, persoalannya adalah di mana bekalan air bersih yang terawat dan Mohamed Azmin perlu memberikan jawapan berserta fakta yang sahih.

"Jangan pula selepas ini beliau menuding jari dan menyalahkan pihak lain untuk menutup kesilapan sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE