Walau bagaimanapun, jawapan Ahli Jawatankuasa manifesto gabungan itu, Syed Ibrahim Syed Noh yang dimuat naik di media sosial dianggap sekadar melepaskan batok di tangga apabila kehilangan hasil sebanyak kira-kira RM40 bilion itu didakwa mampu ditampung dengan dua cara.

Pertama, dengan kembali melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedangkan SST sebelum ini hanya mampu mengutip RM16 bilion manakala jawapan kedua, adalah menerusi pengurangan kadar faedah hutang yang kononnya telah menyebabkan pengguna membayar kos yang tinggi.

Mengulas perkara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti ­Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, dua jawapan yang diberikan itu bukan sahaja tidak masuk akal tetapi ‘gila’.

Kata beliau, pada permukaannya dua jawapan itu nampak seolah-olah menarik, namun jika diteliti sememangnya tidak lebih sekadar cadangan populis.

“Satu perkara yang perlu semua orang sedar, tindakan memansuhkan GST bukan bermakna dapat mengurangkan kos sara hidup, malah mungkin akan lebih membebankan rakyat.

“Apabila SST dikembalikan, pengguna dikenakan cukai sehingga 16 peratus. Andai mereka kenakan 10 peratus sahaja pun, kesan ke atas harga barangan harian tetap sama, jadi tiada faedah pun kepada rakyat, malah mungkin lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Amir Hussin, kadar faedah hutang juga tidak boleh diturunkan sesuka hati, ia perlu mengikut apa yang telah disarankan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kita perlu mengikut ketetapan BNM menerusi kadar dasar semalaman (OPR), kadar pinjaman asas (BLR) dan kadar pembiayaan asas (BFR). Mana boleh sesuka hati nak turunkan, sebagai contoh kalau OPR empat peratus, sampai ke pengguna perlu membayar lima peratus, tidak boleh patah balik jadi 3.5 peratus atau lebih rendah.

“Ini semua cadangan tidak masuk akal daripada gabungan pembangkang PKR yang tidak pernah mempunyai pengalaman memerintah negara, jika dilaksanakan boleh memberi impak lagi teruk kepada ekonomi negara,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE