Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-­undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, salah seorang pemimpin yang pernah disiasat di bawah akta tersebut ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Memang tidak ada pendakwaan atas tujuan politik sebab akta ini baru beberapa bulan sahaja, bayangkan kalau Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya akan ada yang menjadi mang­sa pendakwaan politik.

“Ahli Parlimen Langkawi ada disiasat di bawah akta ini, katalah BN menang kemungkinan Tun Dr. Mahathir didakwa kerana penyiasatan akan mempunyai kaitan dengan politik,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang tersebut setelah bacaan kali ketiga oleh Mohamed Hanipa di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang digubal kerajaan terdahulu di bawah BN bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan terhadap kegiatan itu diluluskan pada 2 April 2018.

Walau bagaimanapun, kerajaan PH menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk menghapuskan rang undang-undang tersebut kerana disifatkan sebagai zalim.