Beliau yang bagaimanapun tidak menafikan perkara itu berkata, siasatan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang maklum balas.

“Saya tidak berada di sana (tempat kejadian) dan hanya tahu mengenainya (pemberian wang) pagi tadi.

“Beri saya masa untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan itu dan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku sebelum memberi maklum balas,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kampung Orang Asli Sungai Relong di Pos Mensun dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial berikutan penyebaran beberapa keping gambar seorang wanita yang memakai baju PH sedang mengedarkan wang dipercayai kepada Orang Asli Cameron Highlands.

Pemberian wang berkenaan kepada Orang Asli yang turut memakai baju PH itu didakwa berlaku selepas proses penamaan calon semalam.

Sementara itu, ditanya sama ada wang berkenaan datang daripada beliau selaku calon PH, Manogaran menafikan perkara itu malah tidak mengetahui langsung mengenainya.

“Bukan saya, saya tidak mengaturkan perkara itu (pemberian wang) dan saya tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku. Berikan saya masa kerana selepas penamaan calon semalam, saya pergi ke Sungai Koyan,” katanya.-UTUSAN ONLINE