Menurutnya, pihaknya mendapat makluman mengenai pembatalan tempahan tersebut daripada pihak yang menguruskan dewan pada tengah malam tadi dengan alasan dewan berkenaan tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

“Ia alasan yang tidak munasabah sama sekali. DAP pernah menggunakan dewan ini untuk kegunaan politik pada tahun 2013 dan Barisan Nasional (BN) juga turut menggunakan dewan ini untuk tujuan sama sebelum ini.

“Saya sangat kecewa. Program makan malam itu merupakan satu program amal bagi mengumpul dana bagi kempen PRK ini dan saya percaya pembatalan ini ada kaitan dengan campur tangan pihak lain dipercayai kerajaan negeri yang diterajui BN,” katanya di sini hari ini.

Manoharan berkata program yang akan diadakan pada malam esok itu yang melibatkan kira-kira 550 orang terpaksa dipindahkan ke tempat lain sekiranya pengurusan dewan berkeras untuk tidak membenarkannya.

Beliau kecewa kerana masih ada golongan yang berfikiran sempit di zaman kerajaan baharu PH.

“Ini dewan orang ramai dan sesiapa sahaja boleh menggunakannya dengan apa tujuan sekali pun. Pihak pengurusan perlu faham, ramai peserta program ini merupakan penduduk di sini termasuk warga emas dan ini merupakan satu-satunya dewan yang terdapat di Tringkap ini.

“Sekiranya lokasi ditukar ke tempat lain, ia akan menyusahkan mereka untuk datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE