Namun, isu kedaulatan terus dimainkan pihak tidak bertanggungjawab terutama pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kononnya, Malaysia menjual kedaulatan negara menerusi kerjasama ekonomi dengan negara tembok besar, China.

Negeri yang menjadi tumpuan pihak berkenaan adalah Pahang. Terbaharu, negeri terbesar di Semenanjung tanah air ini menjadi sasaran kempen jual negara kepada China menerusi penyebaran gambar kereta peronda menggunakan logo polis China yang tular di media sosial yang didakwa berada di Kuantan.

Bagaimanapun, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad memaklumkan, kenderaan tersebut digunakan untuk penggambaran filem bertajuk ‘The Original Sin’ di Putrajaya bagi tayangan di negara China.

Sebelum ini, satu portal berita propembangkang melaporkan keluhan penduduk sekitar Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di Kuantan mengenai kewujudan komuniti China yang seolah-olah mendominasi semua bidang pekerjaan di taman perindustrian itu. Selain kononnya hanya memberi peluang terhad kepada peniaga untuk menjalankan urus niaga.

Sebenarnya, keputusan kerajaan menjalin hubu­ngan ekonomi dan pelaburan den­gan negara republik itu mem­beri keuntungan kepada kedua-dua pihak selain melibatkan penyertaan syarikat tempatan.

Malah, projek di MCKIP turut dibuka untuk syarikat tempatan dan bukan se­perti yang dituduh pembangkang kononnya projek tersebut hanya untuk syarikat-syarikat dari China.

Tampil mempertahankan kerjasama Malaysia-China di Pahang, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang berterusan mendakwa negeri ini dijual kepada negara China adalah tidak benar dan bermotifkan politik.

“Tidak, kita tidak jual tanah. Orang tidak faham, model kita lain. Saya difahamkan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), kita ada syarikat tujuan khas (SPV) dan kedua-dua negara Malaysia dan China masing-masing mempunyai kepentingan dalam kerjasama dilakukan.

“Tetapi, daripada segi kawalan, ia masih di bawah kawalan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTK) Tebing Tinggi kepada 311 penerima di Dewan Utama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Beserah di Kuantan semalam.

Perlu diketahui, hubungan baik Malaysia dengan China di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menggadaikan kedaulatan negara. - UTUSAN ONLINE