Mana tidaknya, pakatan tersebut menjanjikan sehingga 10 perkara untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari sekiranya menawan Putrajaya, antaranya memperkenal bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Pelancaran manifesto itu dibuat di sini malam ini, yang dihadiri seluruh kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan, antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin; Mohamed Sabu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Lim Guan Eng.

Selain sarat dengan janji populis, manifesto tersebut juga dilihat mengitar semula idea 2013 walaupun banyak di antara janji itu sehingga kini tidak ditunaikan khususnya di Selangor dan Pulau Pinang yang telah dipimpin PKR serta DAP sejak 10 tahun lalu.

Tampil dengan lima teras utama, manifesto pakatan dengan tema ‘Membina Negara Meme­nuhi Harapan’ sekali lagi melaungkan janji untuk menghapuskan tol di seluruh negara.

Bagaimanapun, janji tersebut tidak ubah seperti meludah ke langit kerana semua pihak tahu, di Se­langor tiada satu pun tol dihapuskan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walaupun sudah berjanji sejak 2008 lagi.

Sebaliknya, pihak yang tampil menamatkan operasi tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor sejak 1 Januari lalu adalah Kerajaan Barisan Nasional.

Selain itu, pakatan yang gagal menyediakan rumah mampu milik mencukupi sepanjang 10 tahun memerintah Selangor dan Pulau Pinang kini tampil pula menjanjikan sejuta unit mampu milik dalam tempoh dua penggal memerintah.

Sedangkan, janji 150,000 unit rumah mampu milik dalam manifesto 2013 lalu juga sehingga kini sekadar janji tinggal janji.

Begitu juga dalam soal pendidikan tetapi nadanya kali ini berlainan sedikit, iaitu daripada memberikan pendidikan percuma, kepada melanjutkan tempoh bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pakatan Harapan juga berjanji untuk menghapuskan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari pentadbiran dan kembali kepada cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Sementara itu, Pakatan Harapan juga dilihat seperti ketandusan idea apabila meniru langkah BN dalam menyediakan subsidi minyak bersasar khususnya kepada kelompok golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

Paling memalukan, Pakatan Harapan yang sebelum ini hebat mengkritik Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan menuduh kononnya ia dedak, turut mahu melaksanakannya jika berjaya membentuk kerajaan.