Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M), Program Perumahan Rakyat (PPR) dan pelbagai lagi projek perumahan mampu milik yang direncana menjadi bukti jelas bahawa BN mengambil peduli masalah yang dihadapi rakyat terutamanya golongan muda dan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Sebagai contoh, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, 83,759 buah rumah melalui 120 projek PPR dengan peruntukan berjumlah RM6 bilion dan harga RM35,000 di Semenanjung dan RM42,000 di Sabah serta Sarawak telah dibina kerajaan.

Segala usaha itu cuba ditiru ‘bulat-bulat’ oleh Pakatan Harapan yang diketuai DAP menerusi manifestonya walaupun gagal diterjemah kerajaan PKR Selangor dan DAP di Pulau Pinang selama memimpin kedua-dua negeri tersebut.

Buktinya, sembilan projek Rumah Selangorku di enam kawasan telah dibatalkan dengan alasan pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan yang diberikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) manakala rumah ‘mampu milik’ di Pulau Pinang dikatakan hanya ‘mampu lihat’ kerana berharga RM400,000 ke atas.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, janji Pakatan Harapan yang diketuai DAP kononnya mahu menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa hanyalah ‘mengitar semula’ usaha yang telah dilakukan BN.

Jelas beliau, rumah mampu milik yang dijanjikan Pakatan Harapan itu hanyalah penipuan licik bagi mengaburi pemikiran rakyat semata-mata.

“Hal ini kerana apa yang berlaku kepada golongan B40 dan Melayu di Pulau Pinang adalah bertentangan dengan kesemua janji yang ditabur itu. Kalau mereka betul-betul ikhlas, mengapa tidak laksanakan di negeri-negeri pimpinan mereka dahulu?

“Hakikatnya manifesto ini hanyalah sebagai ‘gula-gula’ dalam memberikan janji palsu kepada rakyat kerana janji ini hanyalah gah dalam ucapan, tetapi mustahil untuk dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE