Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, manifes­to tersebut dibuat selepas mengambil kira keperluan dan kehendak masyarakat Islam di negeri tersebut.

Katanya, kerajaan BN mempunyai keupayaan untuk melaksanakan manifesto itu berdasarkan rekod cemerlang Kerajaan Persekutuan memansuhkan yu­ran sekolah rendah dan mene­ngah sejak 2012.

“Ini bukan janji kosong, sebaliknya janji yang dibuat selepas mengambil kira kemampuan kerajaan BN termasuk meneliti kos keseluruhan yang bakal terlibat.

“Kita juga akan memastikan kesemua murid SRA dapat menikmati manfaat ini tanpa mengira latar belakang dan pendapatan ibu bapa mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Transformasi Nasional Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kejiranan Indah di Pangsapuri Indah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Taman Sri Serdang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zamri @ Fazillah Salleh; Timbalan Ketua Pengarah (Pemba­ngunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Amer Yusof dan Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Dr. Mohd. Satim Diman.

Pada majlis tersebut, Noh turut meluluskan peruntukan RM7 juta iaitu RM5 juta untuk menyelenggara kerosakan pada bahagian bumbung di 11 blok kawasan perumahan tersebut manakala RM2 juta bagi membaiki tangki air di tujuh buah blok, kawasan yang sama.

Semalam, Noh menawarkan pendidikan percuma di semua SRA Selangor merangkumi pemberian buku teks sebagai manifesto BN negeri bagi me­ngurangkan ibu bapa dalam menyediakan persekolahan anak-anak.

Laman web Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaparkan SRA antara tujuh ka­tegori sekolah agama yang terdapat di sembilan daerah negeri tersebut manakala yuran yang ditetapkan antara RM40 hingga RM60 seorang, mengikut kawasan (bandar, luar dan pinggir bandar).

Sementara itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, jawatankuasa khas yang dilantik kementerian akan meneliti kesemua aduan daripada 40 mangsa yang terpedaya dengan janji pihak tidak bertanggungjawab mendapatkan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Terdapat dua jenis mangsa dalam kes tersebut iaitu mereka yang memang layak dan menepati syarat untuk menerima rumah PPR akan mendapat kelulusan khas, manakala mang­sa yang tidak layak dan tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan, kita menasihatkan mereka supaya mengambil tindakan susulan.

“Antara tindakan yang boleh mereka ambil adalah membuat laporan polis bagi membuka siasatan dan tindakan sivil di pe­ringkat undang-undang kerana telah ditipu hingga mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM10,000,” katanya.