Kehadiran biasanya secara sukarela bersesuaian dengan ajaran Islam menghormati pemimpin.

Ahad lalu di Seri Perdana, kira-kira 75,000 tetamu mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri - antara catatan keha­diran yang tertinggi.

Ini sekali gus menunjukkan rakyat masih sayangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Tiada istilah ‘dedak’ atau tarikan wang dalam ‘motif’ kedatangan para tetamu berkenaan - meskipun ada individu menguar-uarkan ia diadakan “untuk pastikan jumlah besar hadir bagi dieks­ploitasi sebagai I love you”.
 Kesediaan rakyat berbilang kaum bersalaman dengan Perdana Menteri pada majlis itu kerana jiwa murni mereka yang melihat hari raya Aidilfitri masa terbaik untuk memeriahkan rumah terbuka tersebut.
 Orang yang mengkritik rumah terbuka Perdana Menteri 25 Jun itu bukan seperti yang kita kenali dahulu. Segala komennya termasuk sebelum ini penuh tersirat - sarat dengan tafsiran prejudis, fitnah dan prasangka.

Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan yang turut bersesak-sesak ke Seri Perdana mencatatkan dalam aplikasi Whatsapp ketika beliau tiba pada pukul 1.30 petang, masih ramai yang beratur di luar.
 Jumlah kehadiran berkenaan membayangkan sokongan rakyat kepada Perdana Menteri tidak berkurang, malah sentiasa ada. Ini membayangkan isyarat yang baik untuk Najib di sebalik fitnah dan tohmahan pembangkang yang dilemparkan terhadap beliau dan kerajaan pimpinannya.
 Ini juga suatu manifestasi rasa sayang rakyat kepada pemimpin mereka.

Aidilfitri bukanlah masa untuk berpolitik. Janganlah ada tafsiran bukan-bukan yang sarat agenda politik. Biarlah politik mengambil tempat di waktu yang lain.