Bagi penduduk Kajang khususnya yang ditimpa musibah, mereka amat mengharapkan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

Namun harapan mereka musnah bukan sahaja wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac 2014 itu tidak kelihatan, malah dikatakan kerap menyalahkan rakyat dalam segala masalah yang berlaku.

Penduduk Kampung Batu 12, Mohd. Anuar Ahmad, 67, berkongsi rasa terkilan dirinya dan penduduk sekitar yang terpaksa berdepan musibah banjir setiap kali hujan berterusan.

“Dengan hanya satu jam sahaja hujan turun, memang kampung kami akan dinaiki air dan ada yang terpaksa berpindah ke rumah-rumah jiran atau keluarga terdekat.

“Paling terbaru banjir di sini pada dua minggu lepas dan ia ibarat laut yang luas terbentang. Yang sedihnya Wan Azizah tak pernah turun padang melawat kami apatah lagi untuk menyediakan pusat pemindahan kepada mangsa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia yang turut bertindak sebagai pejuang kepada nasib penduduk memberitahu, sudah tiba masanya ADUN Kajang itu mengundur diri dan bertukar kepada pimpinan baharu jika situasi tersebut masih tidak berubah.

Kampung Batu 12 sering ditenggelami banjir sejak beberapa tahun lalu dan semakin serius pada 2017 ekoran kemendapan tanah menggelamkan dasar Sungai Sekamat akibat pembangunan projek yang dibangunkan kerajaan negeri Selangor.

Penduduk Kampung Sungai Sekamat, Zairi Ahmad, 47, membawa wartawan Utusan Online melihat sendiri kondisi Sungai Sekamat yang tidak terurus dan kotor.

“Sungai Sekamat ini tempat saya bermain sejak dari kecil, tetapi keadaan sungai ini telah banyak berubah dan mudah dipenuhi air.

“Saliran sungai yang dipenuhi sampah, semak-samun dan ada juga kawasan sungai yang terbahagi dua menjadi pulau akibat pohon buloh yang tumbuh ditengah-tengahnya, peliknya ia langsung tidak diselenggara pihak berkuasa negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Wanita MCA Bahagian Hulu Langat, Loh Lai Kuen, 56, keliru dengan tindakan Wan Azizah yang sering menghilangkan diri di Kajang.

“Ada yang cakap Wan Azizah sering ‘hilang’ kerana selalu ke Permatang Pauh, tetapi ada sumber yang mengatakan di Permatang Pauh pun Wan Azizah ‘hilang’. Jadi, di manakah sebenarnya beliau?” tambahnya. - UTUSAN ONLINE