Menurut Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng, penerimaan dana politik itu diakui sendiri bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong tidak seharus­nya mengambil pendirian se­olah-olah tidak mengetahui atau lepas tangan mengenai dana tersebut.

“Ka Siong perlu siasat sumber dana ini dan jika ia datang daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), maka wang itu perlu dipulangkan semula kepada rak­yat,” katanya.

Beliau ditemui pemberi­ta pada majlis pengumuman penganjuran rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2019 yang turut dihadiri Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), Datuk Seri Hong Yeam Wah di sini hari ini.

Guan Eng merujuk kepada wawancara Ka Siong seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang dipetik berkata, sejak beliau menjadi Timbalan Presiden MCA bermula 21 Disember 2014, tidak ada satu sen pun duit 1MDB yang diterima parti berkenaan.

Laporan media sebelum ini turut menyebut Soi Lek pada Oktober tahun lalu meng­akui BN telah mengagihkan secara keseluruhan RM470 juta kepada komponen parti itu menjelang PRU-13 dengan MCA merupakan antara pene­rimanya.

Sementara itu, Yeam Wah berkata, pihaknya dengan so­kongan Kementerian Kewa­ngan akan mengadakan sam­butan rumah terbuka Tahun Baharu Cina tahun ini di Pusat Konvensyen Setia (Spice), Bayan Baru pada 5 Februari ini.

Katanya, penganjuran kali pertama oleh PCCC itu akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dijangka dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan barisan kepe­mimpinan kerajaan negeri.