Tinggal lagi beberapa hari lagi pilihan raya kecil yang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pakatan Harapan, Dr. S. Streram dan dua lagi calon bebas akan berlangsung Sabtu ini.

Tempoh berkempen yang hanya berbaki 72 jam ini digunakan sepenuhnya oleh parti dan calon bertanding untuk menambat sekaligus memenangi hati rakyat DUN Rantau.

Realitinya, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat oleh penduduk tempatan mempunyai banyak kelebihan berbanding tiga calon lain.

Dia merupakan anak jati Rantau. Dilahir dan dibesarkan di daerah yang berbukit-bukau dan menghijau ini. Dia bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Tiga penggal Tok Mat berbakti di negeri yang mengamalkan adat pepatih ini. Sudah tentu sebagai calon di DUN Rantau dia mempunyai kelebihan kerana lebih dikenali oleh masyarakat tempatan berbanding calon lain termasuk Dr. Streram.

Sementara Dr. Streram pula hanya mula terkenal selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu oleh anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak membawa dan memakai pas SPR yang sekaligus menafikan hak calon PH tersebut untuk bertanding.

Gambar Dr. Streram merempuh petugas SPR pada hari pencalonan PRU-14 menjadi titik permulaan beliau mula dikenali dan dia bertambah popular apabila mendakwa DUN Rantau tidak mempunyai balai bomba.

Peluang Dr. Streram untuk bergelar wakil rakyat kembali cerah apabila PH berjaya merebut Putrajaya dan merampas pentadbiran Negeri Sembilan selepas PRU-14. Dia berjaya meyakinkan mahkamah bahawa perbuatan anggota SPR menghalangnya bertanding adalah tidak sah sekaligus membatalkan kemenangan Mohamad.

Kekurangan Dr. Streram hanyalah dia bukan anak Rantau. Selain popular kerana insiden merempuh petugas SPR pada PRU lepas dan cerita mengenai balai bomba yang tidak ada di Rantau, dia tidak dikenali langsung oleh penduduk di sini.

Maka Dr. Streram dan jentera pilihan raya PH terpaksa bekerja 10 kali ganda lebih keras berbanding calon BN sepanjang kempen PRK DUN Rantau berlangsung.

Dr. Streram dijenamakan sebagai 'Doktor Seri Doktor rakyat'. Pengalaman Dr. Streram sebagai doktor sukarelawan di beberapa negara termasuk Afganistan juga dipaparkan bersungguh-sungguh dalam kempen untuk menunjukkan sisi terbaik doktor itu untuk membolehkan dia diterima oleh rakyat Rantau.

Setiap kali muncul dalam ceramah, Dr. Streram tidak pernah lupa memperkenalkan dirinya sebagai pakar bius dan bercerita mengenai pengalamannya sebagai doktor sukarelawan di negara Islam, Afghanistan.

Tok Mat dan Dr. Streram dari segi menyampaikan ucapan, memperlihatkan kedua-duanya mempunyai sikap dan sifat yang sederhana. Ketika berkempen mereka tidak pernah sama sekali menyerang peribadi antara satu sama lain.

Namun semakin hari pilihan raya menghampiri, teknik berkempen juga semakin berubah. Ini ketara dalam kempen yang dilakukan oleh Pakatan Harapan.

Pada minggu pertama serangan terhadap Mohamad difokuskan dengan dakwaan dia tidak membawa sebarang perubahan dalam DUN Rantau. Tiada pembangunan dilakukan sepanjang dia menjadi Menteri Besar selama tiga penggal di Negeri Sembilan. Dakwaan itu bagaimanapun terjawab dengan sendiri dengan kehebatan pembangunan di Sendayan yang diumpamakan sebagai Damansara Negeri Sembilan.

Kemudian serangan disasarkan terhadap isu tanah Felda di Sendayan. Itupun dengan mudah dipatahkan oleh Mohamad.

Masuk minggu kedua, sejak Isnin lalu Mohamad didakwa membeli kediaman bernilai RM10 juta ringgit di London dan terkini mempunyai rumah agam berbentuk Minangkabau di Seremban 2.

Kedua-dua dakwaan itu setakat ini hanyalah sekadar dakwaan yang belum dibuktikan benar. Hampir setiap hari sejak Isnin lalu apabila diajukan dakwaan itu oleh wartawan, Mohamad menjawab 'siasatlah'.

Menurut Mohamad, PH pakar dalam menimbulkan persepsi buruk kepada parti lawan sejak sekian lama. Katanya, fitnah-fitnah yang dilemparkan parti lawan menyebabkan BN tumbang pada PRU-14.

Pun begitu selepas PRU-14 dan selepas 11 bulan PH memerintah adakah serangan persepsi dan peribadi mampu mempengaruhi pengundi?

Pada PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih serangan-serangan persepsi juga dilakukan. Namun parti pembangkang tetap menang di kedua-dua pilihan raya tersebut dan peti-peti undi anak muda pula kembali memihak kepada BN.

Itu di PRK Cameron Highlands dan Semenyih, persoalannya di PRK Rantau ini adakah serangan persepsi dan serangan peribadi mampu menumbangkan calon parti lawan? - UTUSAN ONLINE